Home Nasional Sanggup Syed Saddiq aniaya rakan kerana politik – Asyraf Wajdi

Sanggup Syed Saddiq aniaya rakan kerana politik – Asyraf Wajdi

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. foto SYAFIQ AMBAK, 21 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Tindakan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menganiayai rakannya sendiri dianggap sebagai suatu perkara yang amat dikesali.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang kesal dengan perkara itu berkata, tidak wajar bagi Menteri Belia dan Sukan itu berbuat demikian kepada Wan Muhammad Azri Wan Deris hanya semata-mata kerana politik.

“Saya nak ingatkan pada sahabat saya sebenarnya, Syed Saddiq, beliau pun berkawan rapat dengan Azri. Sebab itu Azri pergi dekat dengan dia, peluk dia, bukan cekik.

“Dia pegang bahu saja, cakap sebagai kawan sebab mereka memang kawan baik. Tapi sebabkan politik, Syed Saddiq sanggup untuk meleburkan ikatan persaudaraan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menziarahi keluarga asnaf bersama calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi di Kampung Sesapan Batu di sini hari ini.

Menurut Asyraf jika benar Muhammad Azri atau lebih dikenali dengan nama Papagomo ada melakukan kesalahan beliau dari awal lagi tidak akan menyokong Exco Pemudanya itu.

Bagaimanapun, berdasarkan siasatan polis Muhammad Azri didapati tidak melakukan apa-apa yang boleh mencederakan Ahli Parlimen Muar itu.

“Bukan seperti lakonan Syed Saddiq siap pergi lapor polis, buat pemeriksaan kesihatan kata kena cekak.

“Bila menteri buat laporan tentulah pihak berkuasa pandang serius.

“Akhirnya kesan penganiayaan kepada Papagomo. Saya akan pastikan laporan polis balas dibuat bahkan telah dibuat pun,” ujarnya.

Muhammad Azri ditahan selepas polis menerima dua laporan berhubung kes melibatkan Syed Saddiq setelah berlangsung majlis penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, 16 Februari lalu.

Polis membuka kertas di bawah Seksyen 353 dan Seksyen 147/323 Kanun Keseksaan.

Dalam laporan itu, Syed Saddiq mendakwa beberapa penyokong pembangkang menyerbu ke arah beliau dan salah seorang daripada mereka (Papagomo) memegang bahu serta mencekak leher Ketua Pemuda Bersatu.

Dakwa Syed Saddiq, serangan provokasi itu berlaku pada jam 11.30 pagi sebaik beliau keluar dari pusat penamaan calon PRK DUN Semenyih yang berlangsung di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ). – MalaysiaGazette