Home Seni Hidup Kisah Dr Selva, Bharathirajaa dan filem Tamil tempatan

Kisah Dr Selva, Bharathirajaa dan filem Tamil tempatan

KUALA LUMPUR – Dengan memiliki kerjaya profesional, nama Dr Selvamuthu dengan Klinik Selva di Puchong, Subang dan Cheras bukan sesuatu yang asing bagi ramai orang.

Namun apa yang segelintir masyarakat tidak tahu ialah tentang Dr Selvamuthu atau lebih mesra dengan panggilan Dr Selva mempunyai minat dalam industri hiburan, khususnya dalam perfileman Tamil tempatan.

Siapa sangka beliau mempunyai studio yang dilengkapi peralatan canggih serta produksi sendiri dinamakan Cini Shatriya yang wujud sejak 2015 dan berjaya menerbitkan tiga buah filem.

Salah satunya ‘Kuttram Seiyel’ akan mula ditayangkan pada Mac ini.

Bharathirajaa

Selain Kuttram Seiyel, kini Cini Shatriya juga dalam proses ‘post production’ filem ‘Tamani’. Filem ini akan siap sepenuhnya pada Mei depan.

Satu lagi drama bersiri 13 episod yang telah di siarkan di Astro Vannavil, ‘Naan Kabali Alla’ mendapat sambutan luar biasa serta rating yang tinggi ketika ditayangkan.

Beliau juga pernah mengarah dan menerbit filem ‘Tharkappu’ di India yang merupakan karya sulungnya dengan bajet besar ketika itu.

Menariknya, semua ini tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa anak beliau, Bharathirajaa yang bukan sahaja menjadi tunjang belakang Cini Shatriya, sebaliknya adalah pengarah muda berbakat.

Cini Shatriya

MalaysiaGazette yang berkesempatan bertemu kedua-dua individu itu di klinik mereka di Puchong teruja melihat gandingan ‘anak-bapa’ ini yang memiliki minat serta bakat sama.

Walaupun masih ‘setahun jagung’ dalam industri perfileman tempatan, kedua-dua mereka mempunyai semangat tinggi untuk menghasilkan karya bermutu, khasnya dalam kalangan masyarakat India tempatan.

Malah seandainya Dr Selva menerbitkan filem, Bharatirajaa pula akan menjadi pengarah dan penulis skrip, kadang-kadang melakonkan watak kecil yang pastinya memberi kesan.

Sungguhpun, kedua-duanya individu ini fokus dalam kerjaya dan perniagaan keluarga, namun minat mereka tidak pernah dilupakan.

Agak menghairankan bagaimana Selva selaku doktor masih sempat bertemu dengan pesakitnya manakalanya anaknya pula menguruskan klinik serta syarikat produksi.

“Minat dalam perfileman ini mungkin sudah ada dalam diri saya sejak kecil lagi, sangat berminat bukan sahaja menonton filem tetapi pembikinan filem itu sendiri selain kerja belakang tabir itu.

“Ketika berada di India, saya tidak dibenarkan untuk melihat pembikinan filem di studio terkenal AVM Studio, saya diberikan alasan bahawa saya tidak tahu apa-apa jadi mengapa ‘sibuk’.

“Insiden itu juga mungkin menjadi pemangkin semangat dalam diri saya, saya ingin buktikan kepada semua, apabila kita mempunyai perasaan ingin tahu dan mahu belajar sesuatu yang baik, apatah lagi seandainya itu memberikan makna bukan sahaja dalam diri kita sebaliknya kepada semua, semangat itu akan bertukar menjadi realiti. Yang penting kesungguhan dan juga tidak berputus asa.

“Saya juga sangat teruja dan perasaan itu saya resapkan pula kepada anak lelaki saya, Bharathirajaa yang saya boleh banggakan kerana dirinya juga mempunyai kesungguhan serta bakat sama. Ini bukan kombinasi ‘syok sendiri’ tetapi minat yang tidak dapat dibendung.

“Malah saya boleh katakan kepada anda, sehingga kini, kami telah memberikan peluang pekerjaan selain menonjolkan bakat dalam industri ini kepada sekurang-kurangnya 230 orang dalam pelbagai skop.

“Itu antara kebanggaan saya, apatah lagi industri perfileman tempatan Tamil di negara ini belum lagi sampai ke tahap yang lebih tinggi seperti perfileman Melayu, itu bukan kerana kekurangan mutu tetapi populasi juga mainkan peranan. Kita ada banyak bakat terpendam tersendiri di sini.

“Bakat-bakat kita ada juga yang telah mencipta nama sehingga ke peringkat antarabangsa malah kutipan filem kita juga boleh cecah jutaan ringgit. Kerana itu, adalah amat penting untuk kita terus lakukan yang terbaik dan bermutu tinggi.

“Kerjaya doktor yang telah saya mulakan sejak tahun 1994 sebenarnya tidak pernah sesekali menghalang saya daripada terus berjaya, sebaliknya bidang profesional dan minat dalam sesuatu perkara lain tidak sepatutnya menjadi batu penghalang atau pengukur,” kata Dr Selva.

Krew filem Tamani

Beliau turut mengakui pilihan untuk berkecimpung dalam dunia hiburan tempatan ini sebenarnya berisiko, apatah lagi nama mereka belum lagi besar.

Malah karya-karya dihasilkan mereka belum sampai ke peringkat lebih tinggi lagi.

“Kita perlu berani juga, semua ini tidak pernah bantutkan usaha dan minat itu, malah menjadikan kami lebih gigih. Jangan jatuh sekali anda terus tidak mahu bangkit, semangat itu bukan sahaja akan membantu anda sebaliknya juga peluang kepada segelintir di luar sana,” ujarnya.

Dalam pada itu, Bharathirajaa tidak pula jemu berkarya walaupun sudah mempunyai komitmen menjaga perniagaan keluarganya termasuk klinik dan syarikat produksi.

“Macam filem ‘Kuttram Seiyel’, saya tulis skrip dan mengarahnya sekali. Minat dan juga ayah yang banyak beri tunjuk ajar serta nasihat. Sebenarnya, kami juga bukanlah arif sebaliknya banyak juga mengharapkan bantuan dari yang profesional.

“Selalunya untuk filem kami, kita ada krew tempatan dan juga kumpulan profesional dari India kerana umum tahu betapa industri perfileman dari negara itu telah berkembang dan berjaya di dunia.

“Saya banyak belajar dari mereka, apa yang kurang saya rajinkan diri untuk betulkan dan buat yang terbaik. Tidak dabik diri sebagai terhebat sebaliknya tahu tentang keupayaan seta kebolehan diri dan peluang untuk kembangan ia pada masa-masa akan datang,” katanya. –MalaysiaGazette

Kuttram