Home Politik PH dakwa dapat sokongan majoriti pengundi Cina

PH dakwa dapat sokongan majoriti pengundi Cina

Gelagat ceria calon Pakatan Harapan PRK N.24 Semenyih, Muhammad Aiman Zainali beramah mesra dengan orang ramai sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Pasar Kampung Baru Cina, Semenyih. foto SYAFIQ AMBAK, 22 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Muhammad Aiman Zainali calon muda taruhan Pakatan Harapan (PH) mendakwa kira-kira 90 peratus pengundi Cina di Semenyih memihak kepadanya.

Muhammad Aiman selepas lawatan itu berkata,  ia merupakan lawatan keduanya ke kawasan majoriti Cina di Kampung Baru Semenyih dan mendakwa menerima sambutan.

“Mereka terima baik PH dan saya rasa apa yang saya nampak ialah lebih 90 peratus memihak kepada PH,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ditanya mengenai aspirasi dan harapan pengundi Cina  terhadapnya, beliau berkata, mereka mengharapkan pembangunan infrastruktur, masalah jalan raya tambah baik bangunan pasar perlu diselesaikan segera oleh pihak berkuasa.

Ditanya mengenai logik di sebalik 90 peratus sokongan pengundi Cina itu, Muhammad Aiman mendakwa ia hasil pemerhatian dan hasil turun padang jentera PH  mendekati penduduk sepanjang kempen.

Mengenai berlaku pengedaran hamper dan surat tawaran oleh PH kepada pengundi, Muhammad Aiman menafikan sekeras-kerasnya ia adalah perbuatan PH.

“Itu bukan dari pihak kami saya tak tahu dari pihak mana sebenarnya dan semalam sudah buat laporan polis mengenai insiden itu.

“Saya juga tidak pasti ia mungkin sabotaj pihak tertentu tapi saya harap kita mesti bertanding secara telus dan bersih itu pegangan saya sehingga sekarang ,” ujarnya.

Muhammad Aiman turut diminta mengulas mengenai kenyataan Bersih 2.0 yang mahu dirinya menyertai debat terbuka antara calon-calon PRK DUN Semenyih.

“Wakil BN (Barisan Nasional) juga tidak ada, jadi apa guna saya sertai debat kalau parti yang dikenali parti besar tidak masuk?

“Kita pun banyak program lain perlu hadir dan perlu bertemu rakyat mendalami masalah mereka dan ia rasanya lebih penting,” tegasnya.- MalaysiaGazette