Home Politik PRK DUN Rantau: Anak jati jadi pilihan, Dr Streram ditolak

PRK DUN Rantau: Anak jati jadi pilihan, Dr Streram ditolak

Dr. Streram Sinnasamy

SEREMBAN – Badan Bertindak Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau menolak Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S. Streram sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau.

Pengerusinya Zuljimmykifli Sahari berkata Streram yang juga Penyelaras DUN Rantau itu, bukan anak jati DUN Rantau dan dikhuatiri akan ditolak pengundi tempatan sekiranya menjadi calon.

Katanya pucuk pimpinan harus memilih calon tempatan dan anak jati kelahiran DUN Rantau yang lebih dikenali, berbanding calon sebelum ini.

“Saya bersama 369 ahli dalam badan tersebut, sebulat suara menolak Streram sebagai calon di PRK Rantau, sebaliknya menyatakan sokongan kepada Sapian Musa yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Cabang Rembau.

“Sapian merupakan anak jati DUN Rantau, dan telah berkhidmat dalam parti sejak tahun 1998 malah beliau antara perintis penubuhan Parti Keadilan di Kelab Tuanku Mambau, serta kawasan Rantau.

“Jasa beliau dalam parti sangat besar, terutamanya dari segi bantuan kewangan, setiap masa beliau mencurahkan bakti dalam parti dan juga masyarakat demi memastikan parti Keadilan terus bangkit, sehingga kita berjaya sampai ke tahap sekarang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir barisan AJK Bertindak Cabang Rembau, Norafrizal Adnan, Aizul Rizza Nazrin dan Zuzamzurin Hashim dan Haslinda Mohamad Baharuddin.

Beliau berkata faktor kemenangan PH bergantung kepada calon yang bertanding, memandangkan calon UMNO iaitu pemangku Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang akan bertanding bagi kerusi itu dianggap sebagai ‘gergasi’ dan sudah pasti calon PH haruslah setanding dengan calon lawan.

“Keutamaan harus diberi kepada anak tempatan dan juga calon tokoh pejuang lama, memandangkan situasi politik semasa lebih memandangkan kepada dua faktor ini.

“Kami berharap suara dan pandangan kami ini didengari serta dipertimbangkan pucuk pimpinan. Bukan kami mahu menentang, sebaliknya hanya sekadar memberi pandangan dan bersuara selari dengan semangat demokrasi negara,” katanya.

Bagaimanapun Zuljimmykifli berkata, sekiranya pucuk pimpinan bertegas untuk memilih Streram, pihaknya akan akur dan tetap menyatakan sokongan, demi satu matlamat untuk menumbangkan UMNO di Rantau.

— BERNAMA