Home Seni Hidup Ramai kawan wanita, belum jumpa yang serasi – Zizan

Ramai kawan wanita, belum jumpa yang serasi – Zizan

Zizan Razak
Zizan Razak.foto IQBAL BASRI, 13 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Walaupun pernah gagal dalam hubungan cinta, pelawak, Zizan Razak tidak akan serik untuk mencuba lagi.

Bahkan beliau tetap bersedia jika dipertemukan jodoh dengan rakan dalam industri seni.

Mengaku ramai rakan wanita, namun Zizan yang sebelum ini pernah menjalin cinta dengan Emma Maembong berkata, beliau masih belum bertemu yang serasi dengannya.

“Saya berkawan dengan ramai orang, sama ada artis atau insan biasa. Tetapi, yang istimewa itu belum ada. Saya tidak ambil masa yang terlalu lama untuk mengenali seseorang, cuma sekarang belum bertemu wanita yang serasi.

“Sama ada wanita itu artis atau tidak, itu bukan persoalan kerana jodoh dan pertemuan sudah tertulis.

“Jika memang sudah ditakdirkan bersama, tidak kira sesukar mana halangan, insan itu pasti akan menjadi jodoh saya,” katanya.

Selain Emma Maembong, Zizan pernah dikaitkan menjalin hubungan istimewa dengan Mira Filzah.

Bahkan katanya tiada syarat untuk kriteria wanita yang akan menjadi suri hatinya, meskipun dua wanita yang dikaitkan dengannya sebelum ini bertudung.

Sebelum ini, Zizan dikatakan pernah mengeluarkan kenyataan untuk menamatkan zaman solonya pada tahun ini namun kemudiannya dinafikan.

Menyentuh mengenai filem arahan Mohd. Helmy Mohd Yusof yang turut dibintangi Datuk Awie, Datuk Afdlin Shauki dan Amerul Affendi yang akan ditayangkan pada 14 Mac ini, Zizan menganggap, naskhah sekuel itu sebagai penghargaan untuk Allahyarham Harun Salim Bachik. -MalaysiaGazette