Home Nasional Penghuni flat berang terbeban kutipan penyelenggaran

Penghuni flat berang terbeban kutipan penyelenggaran

Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul bergambar kenangan bersama wakil penduduk pada sidang media mengenai keluhan penghuni flat kos rendah semenyih sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di flat Bangi Jaya, Semenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI, 24 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Penghuni di beberapa buah pangsapuri di sini ada sebab untuk marah-marah.

Ini kerana mereka terbeban selepas terpaksa membayar yuran penyelenggaraan sebanyak RM66 sebulan sebagai ganti cukai pintu yang dibayar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang telah bermula sejak Januari tahun ini.

Malah, rata-rata yang ditemui melahirkan keraguan apabila kutipan bayaran tersebut dikatakan diurus oleh sebuah syarikat selaku agen mewakili Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Mereka memberitahu, khidmat yang diberikan oleh syarikat terbabit juga tidak berbaloi dengan jumlah bayaran yang dikutip dan disebabkan itu ramai dalam kalangan penghuni tidak membayar.

MGF24022019_PC PSM_04
Rosli Abdul Kader

Seorang penghuni Pangsapuri, Taman Sri Hanico, Rosli Abd Kadir, 53, berkata, bayaran tersebut sememangnya membebankan lebih-lebih lagi kepada dirinya yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Menurutnya, penghuni lebih selesa membayar cukai pintu berbanding yuran penyelenggaran tersebut yang disifatkan sebagai menyeksakan ditengah-tengah rakyat kini berada dalam kesempitan akibat kos sara hidup yang meningkat.

“Kami yang tinggal di sini bukanlah dari golongan berkemampuan. Jika perkara ini (kutipan penyelenggaraan) berterusan ia sudah pasti memberi kesan yang sangat mendalam terutama mereka yang susah.

MGF24022019_PC PSM_09
P. Nithiya

Bagi P. Nithiya, 36, yang merupakan seorang pekerja kilang pula, dia memberitahu, tidak berpuas hati dengan perkhidmatan oleh pihak menguruskan kutipan berkenaan ekoran tidak menyediakan khidmat yang sewajarnya.

Katanya, pihak terbabit tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan sempurna apabila kerja-kerja seperti pembersihan tidak dibuat mengikut jadual.

“Mereka ini cuma ambil kerja sapu sampah sahaja. Itu pun kadang-kadang tidak bersih. Mereka tidak menyelenggara sepenuhnya dan ini merugikan kami sekiranya membayar.

“Kerja sapu sampah juga bukannya mereka lakukan hari-hari tetapi ia dibuat sekali sahaja dalam seminggu,” katanya yang tinggal di pangsapuri Mutiara dekat Bukit Semenyih.

Seorang lagi penduduk, Chee Tam You, 57, pula melahirkan rasa kecewanya terhadap perkara yang berlaku itu.

MGF24022019_PC PSM_08
Chee Tham You

Ujarnya, pihak MPKj perlu mengambil tindakan yang wajar dalam mengatasi rungutan yang ditimbulkan oleh penghuni-penghuni pangsapuri berkenaan.

“Kami harap ada pihak dapat membantu dalam menyelesaikan perkara ini agar ia tidak terus menjadi satu tekanan kepada penduduk yang sememangnya tidak bertahun-tahun tinggal di sini.

Sementara itu, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul ketika bercakap pada sidang media mengenai aduan penduduk terbabit berkata, beliau akan memperjuangkan masalah yang dihadapi oleh penghuni-penghuni pangsapuri berkenaan sekiranya diangkat menjadi wakil rakyat di Semenyih.

MGF24022019_PC PSM_06
Nik Aziz Afiq Abdul

Dengan memberikan gambaran situasi pemerintah di peringkat negeri dan pusat yang dipegang oleh kerajaan pemerintah di Selangor, Nik Aziz berkata, pentingnya ada pembangkang di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang boleh bertindak dan memberi teguran terhadap kepincangan yang berlaku.

“Sebab itu kita kena ada wakil rakyat pembangkang di Dewan Undangan Negeri supaya boleh jadi check and balance (semak dan imbang) jika ada sesuatu yang tidak kena,” ujarnya. – MalaysiaGazette