SEMENYIH – Seorang ahli jawatankuasa (AJK) sebuah masjid di Desa Jaya, Kepong, berkemungkinan hilang jawatannya itu sekiranya didapati bersalah dalam insiden menampar seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) di sini, baru-baru ini.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan memutuskan tindakan sewajarnya terhadap AJK itu selepas polis menyelesaikan siasatan.
Menurutnya, beliau turut menekankan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang bersalah dalam kejadian tersebut serta akan mengambil indakan secara adil dan tegas.
“Kita akan melihat tindakan sewajarnya terhadap beliau (AJK terbabit), mungkin diberi nasihat, amaran atau penukaran jawatan (berdasarkan hasil siasatan polis dan JAIS).
“Saya tidak mahu melindungi sesiapa. Jika terbukti ada kesalahan, beliau perlu diambil tindakan sewajarnya dan JAIS akan putuskan kerana mereka ada kod etika serta prosedur yang harus diikuti semua nazir dan AJK masjid.
“Polis sedang melakukan siasatan dan kita tidak mahu mengganggunya. JAIS atau pihak masjid harus memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis,” katanya kepada pemberita di Padang Awam Semenyih, di hari ini.
Beliau mengulas insiden seorang AJK masjid menampar seorang lelaki OKU sekurang-kurangnya tiga kali dan rakaman video berdurasi 28 saat itu kemudian tular dalam media sosial.
Semalam, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof, dilapor berkata, insiden pukul 8.30 malam pada 10 Februari lalu itu dipercayai berpunca daripada salah faham apabila AJK masjid berkenaan menyangkakan lelaki OKU berkenaan mencuri wang tabung masjid.
Menurut Samsor, mangsa berusia 18 tahun itu sebenarnya diarah individu lain yang juga seorang AJK masjid sama untuk mengambil wang berkenaan tetapi berlaku salah faham.
Beliau berkata, siasatan terhadap kejadian itu masih dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette