Home Nasional Tangkap segera provokasi agama – Mujahid

Tangkap segera provokasi agama – Mujahid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Seri Mujahid Yusof berucap pada Majlis Jamuan Muhibbah Tahun Baru Cina di SKJC Chee Wen, Subang Jaya. foto NIZAM ZAIN, 24 FEBRUARI 2019

SUBANG JAYA – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) digesa mengambil tindakan tegas termasuk menangkap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan provokasi antara agama di sebalik insiden patung berhala.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menegaskan sekiranya tangkapan masih tidak dilakukan segera, insiden itu dikhuatiri akan berulang dan menimbulkan ketengangan agama.

“Saya ingin tegaskan bahawa pihak polis kena ambil tindakan segera sebab jika dibiarkan perkara ini berterusan ia akan menimbulkan pelbagai provokasi.

“Kita tidak mahu melihat negara kita ini dicemari dengan tindakan-tindakan sebegitu rupa.

“Siapa bersalah minta segera ditangkap agar menunjukkan kesungguhan kita untuk menjaga kesucian tempat-tempat ibadat khususnya di dalam masjid dan surau,” katanya ketika ditemui selepas Jamuan Muhibbah Tahun Baru Cina di Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC) Chee Wen di sini, hari ini.

Beliau mengulas insiden penemuan dua patung berhala yang diletakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab di Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah, Klang.

Patung berhala agama Hindu diletakkan di atas tembok pintu masuk surau tersebut dan ia dikesan pada pukul 2.15 petang semalam oleh seorang wanita yang dalam perjalanan ke kelas agama di surau sama.

Insiden itu merupakan kali kedua selepas tiga hari sebelumnya di mana penduduk Taman Pendamar Indah digemparkan dengan penemuan sebuah patung berhala yang diletakkan bersebelahan pintu masuk utama di surau sama.

Difahamkan, patung itu diletakkan individu tidak bertanggungjawab di antara jam 2.30 petang hingga 4.00 petang sebelum disedari oleh siak yang datang untuk membuat persiapan bagi solat Asar di surau terbabit. – MalaysiaGazette