Home Utama Allahyarham sempat mengaku dipukul

Allahyarham sempat mengaku dipukul

SHAH ALAM – Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim pernah memberitahu kepada salah seorang kakitangan Institut Jantung Negara (IJN) bahawa dia dipukul. 

Perkara itu dimaklumkan oleh doktor yang merawat anggota bomba itu, Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib semasa prosiding inkues berlangsung hari ini. 

“Saya diberitahu oleh salah seorang kakitangan, Ashraf, pernah tanya Adib apa yang berlaku, anggota bomba itu menggangguk kepala kata dia ingat Ashraf tanya ada kena pukul? Muhamad Adib menganggukkan kepala,” katanya saksi inkues kematian Muhammad Adib di Mahkamah Seksyen 6 hari ini. 

Bagaimanapun perkara itu katanya diberitahu Ashraf selepas beberapa hari kematian Adib.

Namun beliau memaklumkan kakitangan IJN itu agar memberitahu pihak berkuasa.

“Saya dapat tahu oleh Ashraf selepas kematian Adib, pada hari Krismas,” ujarnya. 

Malah sebelum memaklumkan punca kematiannya pada 17 Disember 2018 akibat Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), Mohamed Ezani berkata, anggota bomba itu mengalami trauma di bahagian dada.

“Sesuatu daripada objek keras yang boleh menyebabkan trauma dada,” jawabnya ketika ditanya bagaimanakah trauma dada Muhammad Adib berlaku.

Pada mulanya, hari kelima  di IJN, Mohamed Ezani cuba berkomunikasi dengan Muhammad Adib dengan bertanyakan apa yang berlaku namun hanya menggelengkan kepala.

“Ada saya tanya “apa berlaku?” tetapi dia hanya menggelengkan kepala,” katanya. 

Muhammad Adib, anggota bomba yang parah dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, disahkan meninggal dunia pada 17 Sisember 2018 di IJN. -MalaysiaGazette