Home Nasional Maszlee berjasa beri kebebasan kendali pilihan raya kampus

Maszlee berjasa beri kebebasan kendali pilihan raya kampus

Ketua Jentera Suara Siswa, Wong Yan Ke bercakap kepada media pada proses penamaan calon pilihan raya kampus Universiti Malaya yang buat julung kalinya diuruskan sepenuhnya oleh pelajar di Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Kejayaan Universiti Malaya (UM) menjadi perintis kepada pengendalian pilihan raya kampus oleh para mahsiswa selepas hampir 50 tahun sebenarnya adalah jasa Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Selain Maszlee, Timbalannya, Teo Nie Ching juga berperanan untuk duduk mendengar suara hati mahasiswa yang mahu keluar daripada cengkaman ‘tangan halus’ yang menguasai pilihan raya kampus selama ini.

MalaysiaGazette yang sempat menemui salah seorang penuntut UM tahun akhir jurusan kejuruteraan sivil yang juga Ketua Jentera Suara Mahasiswa, Wong Yan Ke ketika proses penamaan calon berlangsung mendedahkan perkara tersebut.

MGF25022019_Proses Penamaan Calon Pilihan Raya Kampus UM_02
Sekitar proses penamaan calon pilihan raya kampus Universiti Malaya yang buat julung kalinya diuruskan sepenuhnya oleh pelajar di Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 FEBRUARI 2019

Jelas Yan Ke, beliau bersama para aktivis Suara Mahasiswa telah mengadakan pertemuan dengan Maszlee sebanyak empat kali di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Parlimen bagi mendengar apa yang cuba disampaikan oleh kumpulan mahasiswa dari UM ini.

“Benar, pilihan raya kampus ini buat kali pertama kita dapat kendalikan sendiri tanpa sebarang campur tangan pihak hal ehwal universiti atau yang lain-lain seperti sebelum ini kerana usaha tidak henti oleh kami mengadakan pertemuan dengan Yang Berhomat Dr Maszlee dan Teo Nie Ching.

“Agenda kami satu sahaja, reformasi pilihan raya kampus yang sebelum ini tercemar dengan penglibatan pihak lain dengan menguasai sistem demokrasi pilihan raya kampus selama ini.

“Kertas kerja cadangan sebanyak 19 muka surat serta pandangan, keluh kesah itu sebenarnya didengari dengan baik sekali. Pertemuan-pertemuan ini diadakan sekitar bulan September tahun lepas.

“Antara yang kita telah kemukakan bagi Transformasi Pilihanraya Kampus ini merangkumi 4 elemen termasuk komposisi ahli jawatankuasa, cara pelantikan ahli jawatankuasa, kriteria ahli jawatankuasa dan skop kerja.

“Selain itu, kita juga beri cadangan agar wujudkan sebuah badan pemntau pilihan raya kampus termasuk dari Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Gerakan Pembebasan Akademik (GPA) dan juga Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK).

“Hari ini merupakan hari bersejarah buat kami para mahasiswa khasnya di UM, buat kali pertama selepas lebih 50 tahun, proses pilihan raya ini bukan sahaja kami tentukan malah kami kendalikan sepenuhnya tanpa penglibatan pentadbir universiti.

“Terima kasih kepada Maszlee dan Nie Ching. Tidak lupa juga, kepada Naib Canselor kami yang begitu komited serta positif dengan pembaharuan ini,” katanya.

Maszlee UM

Pada 10 Disember lepas, Dewan Rakyat meluluskan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang akan membolehkan mahasiswa terlibat aktiviti parti politik di dalam kampus.

Keputusan itu dicapai selepas ahli-ahli Dewan bersetuju terhadap Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2018 bagi memansuhkan peruntukan Seksyen 15(2)(c) AUKU 1971 berhubung larangan ke atas pelajar universiti terlibat dalam parti politik di kampus

Maszlee juga pernah menulis bahawa beliau sangat berharap dapat mengembalikan amalan politik di kampus ini bagi melahirkan pemimpin yang disegani dan cendekiawan yang dikagumi.

“Kementerian Pendidikan komited untuk memastikan ekosistem universiti kembali pulih agar menjadi rahim terhadap lahirnya generasi unggul dan berdaya saing demi memacu negara ke arah kemajuan.

“Dengan itu, mahasiswa akan diberikan kebebasan untuk berpolitik di kampus dengan cara yang sihat dan matang.

“Mereka perlu ke depan untuk memberikan pandangan dan bersuara terhadap segala ketidaktelusan urus tadbir, di samping menjadi bahagian yang penting di dalam pembentukan dasar universiti,” katanya baru-baru ini. -MalaysiaGazette

Teo Nie Ching UM

UM cipta sejarah, selepas 50 tahun mahasiswa kendali sendiri pilihan raya kampus