Home Ekonomi Pelabur asing jual RM319j ekuiti tempatan minggu lalu

Pelabur asing jual RM319j ekuiti tempatan minggu lalu

Pelabur asing menjual sejumlah AS$704.3 juta ekuiti minggu lalu berbanding AS$705.4 juta pada minggu sebelumnya. - MIDF Research

KUALA LUMPUR – Dana-dana luar pesisir kekal sebagai penjual bersih untuk minggu kedua pada minggu lalu.

Berdasarkan data dari Bursa Malaysia, pelabur-pelabur asing membawa keluar sebanyak RM319 juta dari ekuiti tempatan, tidak jauh beza daripada RM369.2 juta pada minggu sebelumnya.

MIDF Research berkata, hari Isnin merekodkan aliran masuk bersih asing sebanyak RM118.1 juta, di tengah-tengah progres rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

Tetapi, pelabur-pelabur asing melupuskan sebanyak RM47.7 juta pada hari Selasa ketika bursa tempatan naik 0.8 peratus untuk ditutup pada 1,700 mata untuk kali pertama sejak 25 Januari 2019.

“Pelabur-pelabur asing kembali secara sederhana di bursa dan membeli RM27 juta pada hari Rabu, kebetulan dengan keuntungan harian terbesar sebanyak 1.15 peratus FBM KLCI sejak akhir Disember 2018.

“Prestasi itu disumbangkan oleh permulaan sederhana Wall Street pada minggu itu dan kenaikan harga minyak Brent kepada AS$66 setong,” kata firma penyelidikan itu.

Bagaimanapun, pada hari Khamis jualan dilakukan semula oleh pelabur asing pada jumlah RM116.2 juta dan RM300.2 juta pada hari Jumaat.

Penjualan itu dipacu oleh sentimen penurunan Indeks Harga Pengguna pada 0.7 peratus tahun ke tahun pada Januari, penurunan kali pertama sejak tahun 2009.

Dengan empat hari berbaki pada bulan Februari, pelabur asing telah melupuskan sejumlah RM525 juta, menjadikan aliran masuk bersih pelaburan asing ke Malaysia setakat ini sebanyak RM501.4 juta atau AS$120.4 juta.

Malaysia masih kekal sebagai negara dengan aliran masuk pelabur asing terendah dalam kalangan empat negara Asia.

MIDF Research berkata, penyertaan semua kumpulan pelabur meningkat pada minggu lalu.

Nilai purata dagangan harian pelabur asing meningkat 41 peratus, kekal pada paras RM1 bilion. – MalaysiaGazette