KUALA LUMPUR – Perkeso akan melancarkan Ops Kesan kali ke-11 mulai 1 April ni bagi memastikan semua majikan yang menggaji sekurang-kurangnya seorang pekerja mendaftarkan perusahaan dan pekerja mengikut peruntukan sedia ada.
Peruntukan itu di bawah Seksyen 4 dan 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 ( Akta 4) dan Sekayen 14 dan 16 Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) yang mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2018.
Kegagalan majikan mendaftarkan perusahaan dan pekerja dalam tempoh ditetapkan adalah kesalahan yang boleh dikenakan tindakan dan pendakwaan.
Jumlah kompaun yang dikenakan boleh mencecah RM5,000 manakala jika didakwa pesalah boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun.
Selain itu, majikan juga akan dikenakan faedah pada kadar 6 peratus serahun di atas setiap hari caruman yang lewat dibayar ekoran kelewatan mendaftar.
Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammaed berkata, majikan yang mendaftar secara sukarela dalam tempoh pemutihan yang bermula 1 Mac hingga 31 Mac ini akan dikecualilan daripada tindakan kompaun dan pendakwaan walaupun telah melewati tempoh yang ditetapkan.
Pengecualian itu termasuk ke atas Faedah Lewat Bayar yang akan dikenakan kemudiannya dan terpakai kepada kedua-dua Akta 4 dan Akta 800.
“Kita harap majikan tampil secara sukarela kerana Perkeso tidak akan berkompromi lagi selepas 11 tahun melaksanakan Ops Kesan.
“Sudah 10 tahun, maka tidak ada lagi alasan tidak tahu tentang keperluan untuk mendaftar. Cukuplah peluang dan ruang yang kami berikan selama ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurutnya, sejak tahun 2009 hingga 31 Disember tahun lalu sebanyak 19,253 notis kompaun dengan nilai RM14.146 juta dikeluarkan kepada majikan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 13,576 kes telah didakwa di bawah Akta 4.
Sehingga 31 Disember 2018, sebanyak 613,860 majikan aktif berdaftar di bawah Akta 4 dengan seramai 7.17 juta pekerja telah mendapat perlindungan Perkeso.- MalaysiaGazette