Home Politik UMNO, sila pilih Nazri atau MIC, MCA – Vigneswaran

UMNO, sila pilih Nazri atau MIC, MCA – Vigneswaran

KUALA LUMPUR – Kenyataan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz ternyata ‘merobek’ hati pimpinan komponen BN terutama MIC dan MCA.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran kecewa dan terkilan dengan kenyataan Setiausaha Agung BN itu dan menyifatkan Mohamed Nazri bukan merendah-rendahkan kaum lain di negara ini sebaliknya angkuh dan bersifat menghasut.

Malah Yang Dipertua Dewan Negara memberi kata dua kepada kepimpinan tertinggi UMNO membuat keputusan memilih antara komponen MCA, MIC atau jawatan Mohamed Nazri.

“Dengan nada bersahaja, Nazri boleh keluarkan kenyataan-kenyataan sebegitu kemudian mendakwa ianya adalah keresahan masyarakat Melayu dan Islam. Sebenarnya, saya tidak pasti mengapa Nazri cakap begitu dan merendahkan martabatnya sebegitu tetapi kami terguris.

“Apa sebenarnya motif Nazri mengatakan pelantikan jawatan tertinggi negara dalam kalangan bukan Melayu sebenarnya menyebabkan banyak kes berat sebelah. Apa kenyataan ‘sampah’ seperti ini?

“Bukankah beliau seorang peguam? Tidak tahukah inkues sedang berjalan lagi?

“Apa salahnya jawatan tertinggi juga diberikan kepada kalangan bukan Melayu di negara ini? Apa masalah? Bukan selama berpuluh-puluh tahun, itu amalan UMNO?

“Semuanya kamu (UMNO) pegang, semuanya kamu bolot. Sekarang tidak senang pula sampai terdesak hendak guna sentimen perkauman pula?

“Hakikatnya zaman kegemilangan UMNO dan BN sudah tidak ada lagi, pada masa ini kita sepatutnya bukan sahaja bersatu sebaliknya juga insaf menerima kesalahan lalu malah perlu menjadi lebih rendah diri bukan lagi taksub serta tamak kuasa lagi.

“Tidak cukupkah ‘hukuman’ yang diberikan oleh rakyat kepada kita? Masih mahu berterusan main isu perkauman?” soalnya.

Kepada Malaysia Gazette, Vigneswaran mahu UMNO dan BN menerima hakikat zaman kegemilangannya sudah tidak ada lagi.

“Ketika saya berpeluang bertemu dengan pimpinan Pas beberapa bulan lepas, kami terkejut dengan layanan cukup ramah, sopan serta rendah diri, tidak angkuh seperti Nazri ini.

“Cukuplah Nazri, belajar dari Pas terlebih dahulu, walaupun bukan Melayu dan Islam, ramai dalam kalangan India dan Cina sangat menghormati serta  menerima Pas kerana mereka cukup fasih dalam menghormati kaum lain.

“Kami mahu kepimpinan membuat keputusan, pilih kami, MCA dan MIC atau hentikan ‘kegilaan’ Nazri. Dia tidak sepatutnya menjadi jurucakap atau Setiausaha Agung mewakili BN,” katanya lagi.

Vigneswaran mengulas kenyataan Mohamed Nazri yang menjadi pertikaian ketika bekas menteri itu berucap dalam satu program di Beranang, Semenyih pada Sabtu lalu.

Selain Peguam Negara, Mohamed Nazri turut menyentuh tentang Ketua Hakim Negara dan Menteri Kewangan yang bukan dari kalangan orang Islam.

Mohamed Nazri yang juga Ahli Parlimen Rengas itu mendakwa orang Melayu tidak yakin kepada ketiga-tiga pemegang jawatan itu kerana mereka tidak mengangkat sumpah jawatan dengan al -Quran ketika dilantik.

Kata Vigneswaran lagi, Mohamed Nazri tidak berhak untuk bercakap mengenai MCA sebaliknya perlu berhenti menjadi seolah-olah beliau ‘Presiden UMNO.’

“Siapa dia untuk bercakap tentang MCA? Tidak ada hak. Langsung tidak berhak untuk meminta MCA keluar komponen atau mengatakan mereka tidak wujud dalam komponen. Apakah haknya?

“MCA berhak untuk melahirkan pendapat mereka dan kita sebagai pimpinan tertinggi dalam komponen perlu duduk semeja dan berbincang dan membuat keputusan bukannya Nazri. Siapa Nazri ini? Ini bukan masalah dia jadi lebih baik tutup mulut.

“Kami sudah bosan sebenarnya dibuli seperti ini sejak dulu lagi, selalu memperkecilkan jasa serta peranan kita, gunakan isu perkauman untuk rendah-rendahkan martabat kami. Sekarang masa itu sudah berlalu dan kini kita juga bersedia untuk apa sahaja kemungkinan. Kita boleh hadapi apa sahaja, cubalah jentik dan tengok apa yang berlaku.

“Apa yang Nazri hendak cakap? Tentang kekalahan kami, kita akan beritahu umum apakah yang terjadi kepada kita selama bertahun-tahun ini, hendak cakap tentang rasuah? Hendak bercakap betapa rakyat tidak terima kita?

“Sukar untuk kami bekerjasama dalam satu komponen seandainya pemimpin seperti Nazri ini wujud, bagaimana untuk bekerja jika isu perkauman terus menjadi permainan UMNO,” katanya.

Jelas Vigneswaran lagi, beliau sendiri bersama-sama pimpinan MIC yang lain telah melawat Allahyarham Muhammad Adib Kasim sebelum meninggal dunia.

“Kita juga tidak terima apa yang telah terjadi dengan Adib. Kita juga tidak akan bertolak ansur, sesiapa yang melakukan perbuatan terhadap mangsa akan dihadapkan ke muka pengadilan dan kita akan menyokong apa jua tindakan. Jadi apa masalahnya Nazri?” soalnya lagi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dakwaan saya minta tutup sekolah vernakular tak benar, kata Nazri