Home Nasional Wira Perkasa serah memo minta lelaki hina Nabi Muhammad didakwa

Wira Perkasa serah memo minta lelaki hina Nabi Muhammad didakwa

KUALA LUMPUR – Wira Perkasa Malaysia hari ini menyerahkan memorandum kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta pihak berkuasa membuat pendakwaan ke atas individu yang menghina Nabi Muhammad.

Memorandum itu diserahkan Naib Wira Perkasa, Syed Mohd Shahriman Syed Badrishah kepada pegawai Bahagian Penerbitan dan Publisiti Urusetia (Komunikasi Korporat) PDRM Bukit Aman, Deputi Superitendan Faizal Samsuddin di pintu masuk utama Bukit Aman kira-kira jam 2.30 petang ini.

Menurut Syed Mohd Shahriman, Wira Perkasa yang mewakili pimpinan pusat, negeri dan Parlimen seluruh negara berasa kesal apabila individu bernama Foo Sing Wai dibebaskan hanya dengan jaminan polis Jumaat lalu, sedangkan perbuatannya menghina Nabi Muhammad dan isteri baginda telah mengguris hati dan perasaan umat Islam negara ini.

“Lelaki itu sepatutnya didakwa di mahkamah dan dikenakan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan, tetapi selepas habis tempoh reman tiga hari, dia dibebaskan dengan sekadar jaminan polis begitu sahaja tanpa didakwa.

“Kita dengan tegas dan jelas pihak berkuasa mendakwa lelaki itu dengan segera. Kita tidak mahu dengar sebarang alasan retorik kerana bukti sudah jelas dia telah menghina Nabi kita,” katanya kepada media di Bukit Aman hari ini.

Turut bersama, Ketua Penerangan Perkasa Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif dan sekumpulan barisan kepimpinan Wira Perkasa.

Syed Mohd Shahriman berkata, kegagalan pendakwaan ke atas lelaki itu akan mendorongkan lagi kemarahan umat Islam secara berterusan dan boleh menggugat keselamatan negara.

Jelas beliau, ia juga dilihat sebagai penghinaan terhadap ‘rule of law’ negara ini. – MalaysiaGazette