PARTI Sosialis Malaysia (PSM) mengambil langkah berani apabila sekali lagi meletakkan calon untuk bertanding pada PRK DUN Semenyih.
Meskipun pernah tewas sebanyak tiga kali di kawasan berkenaan dalam beberapa pilihan raya namun parti itu tetap mahu memperjuangkan nasib rakyat di kawasan berkenaan.
Bahkan, calon yang ditampilkan oleh parti itu kali ini bukan orang asing sebaliknya dikenali oleh penduduk Semenyih sendiri.
Ikuti temu bual calon PSM, Nik Aziz Afiq Abdul, 25, dalam satu pertemuan dewan wartawan Malaysia Gazette, MOHD ZAINI SAMSU HADI dalam satu pertemuan baru-baru ini.
MALAYSIA GAZETTE: Boleh beritahu saya kenapa pengundi-pengundi di Semenyih perlu beri undi kepada PSM?
NIK AZIZ: Seperti mana pengundi-pengundi Semenyih sedia maklum, ini adalah kali ke empat kami bertanding di Semenyih.
Tiga kali sebelum ini kami kalah bertanding di sini tapi walaupun kalah pusat khidmat kami tetap diteruskan. Calon kami sebelum ini saudara Arut (Arutchelvam Vijayaraman) tetap menerima aduan-aduan masyarakat.
Penduduk Semenyih tahu siapa yang bekerja dan berkhidmat untuk mereka. Jadi, ini kali keempat, sebelum ini penduduk Semenyih tak berapa nak bagi undi kepada PSM kerana nak jatuhkan Barisan Nasional (BN). Sekarang BN telahpun jatuh dan Pakatan Harapan (PH) menjadi BN yang kedua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi UMNO 2.0. Jadi, kita nampak masyarakat Semenyih perlu memilih sesuatu yang berbeza daripada BN dan PH iaitu kami PSM. Ini adalah sebab kenapa mereka perlu memilih kita pada pilihan raya ini.
MALAYSIA GAZETTE: PSM dianggap sebagai pemecah undi kepada pengundi di sini. Apa komen saudara tentang perkara ini?
NIK AZIZ: Sebenarnya yang memecahkan undi adalah mereka yang bertanding tapi tidak sedia menjadi wakil rakyat. Tidak sedia untuk berdebat, tidak sedia untuk melontarkan sesuatu melibatkan suara rakyat, kepentingan rakyat.
Inilah orang-orang yang memecahkan undi. Bagi saya kena lihat seperti Uncle Kentang (Kuan Chee Heng), orang-orang yang membuat kerja-kerja kebajikan. Kami ini bukan pecah undi, sebenarnya kami adalah orang-orang yang mengangkat martabat rakyat dalam pilihan raya.
Sebenarnya orang-orang yang tidak begitu kisah atau tidak peduli yang hanya muncul ketika pilihan rayalah memecahkan undi sebenarnya.
MALAYSIA GAZETTE: Adakah di Semenyih ini dikategorikan sebagai satu kawasan yang terpinggir berdasarkan pengamatan saudara?
MALAYSIA GAZETTE: Semenyih adalah kawasan semi urban di mana separuh daripada daerah mengundi adalah terdiri daripada kampung-kampung tradisi dan separuh lagi sedang dalam proses perbandaran yang tengah rancak sekarang ini.
Kita boleh katakan terpinggir kerana jajaran lalu lintas, pengankutan awam yang teruk, pendidikan di Semenyih yang tiada menawarkan tingkatan enam, walaupun sebelum ini ada tapi tiga tahun terakhir ini tingkatan enam tidak lagi ditawarkan di Semenyih.
Mereka yang ingin menyambung pengajian ke tingkatan enam terpaksa pergi ke Sekolah Tinggi di Kajang. Inilah satu bentuk yang terpinggir. Banyak juga perkara -perkara lain.
Pembangunan yang mewah apabila dibina di Semenyih menyebabkan rakyat tempatan generasi muda tak mampu untuk kami tinggal di Semenyih.
Kami mungkin kena lari ke Pahang, Negeri Sembilan dan sebagainya, sebab kami sendiri tak rasa pembangunan yang dibuat depan mata kami mampu untuk kami diami. Ini entah untuk orang-orang dari mana agaknya, orang-orang yang mempunyai kekayaan yang dahsyat dapat beli rumah-rumah di Semenyih ini.
MALAYSIA GAZETTE: Jika calon PH, Muhammad Aiman Zainali berjanji akan menyelesaikan segala masalah sehari selepas diumum sebagai ADUN, bagaimana pula saudara boleh menyelesaikann masalah penduduk Semenyih sedangkan saudara hanya wakil bebas yang tidak ada hubungan kuat dengan kerajaan Persekutuan mahu pun negeri?
NIK AZIZ: Kita ada pengalaman seperti di flat kos rendah yang kita berada sekarang ini. Walaupun kita kurang hubungan dengan kerajaan negeri tetapi oleh kerana kerajaan negeri adalah kerajaan rakyat, kita akan datang berjumpa dengan menteri besar berbincang tentang masalah rakyat.
Hubungan itu bukan kerana kita separti, tetapi kita kena menjalankan khidmat kepada rakyat dan hubungan itu akan wujud nanti. Contohnya ladang-ladang di Semenyih, PSM banyak campur tangan dan akhirnya ladang-ladang ini mencapai kemenangan.
Maksudnya bukanlah kita tiada hubungan tetapi tidak duduk sekali. Adakah bermakna kita akan bermusuh, tidak boleh bekerjsama?
Demi kepentingan rakyat PSM telah banyak kali membuktikan bahawa kita boleh bekerjasama baik dengan kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat. Kita meletakkan rakyat sebagai agenda utama.
MALAYSIA GAZETTE: Apakah perkara utama yang menjadi fokus dan akan diselesaikan terlebih dahulu jika saudara bergelar YB?
NIK AZIZ: Antara perkara awal yang akan disentuh ialah berkenaan pengangkutan awam, saya lihat majoriti rakyat Semenyih merasai keperitan terhadap pengangkutan awam ini.
Oleh kerana pengangkutan awam yang lemah menyebabkan kita punya perjalanan untuk mencari rezeki dan sebagainya menjadi terganggu dalam kesesakan lalulintas yang sangat teruk setiap pagi dan petang di kawasan Semenyih.
Jadi saya kira ini adalah perkara utama yang ingin saya sentuh iaitu pengakutan awam dan mempermudahkan perjalanan penduduk untuk keluar mencari rezeki.
Dan yang keduanya, kita akan bertemu dengan exco-exco berkaitan bagi menyelesaikan isu-isu seperti pendidikan dan tujuan manifesto yang kita sebutkan itu kita akan aturkan untuk ia berjaya dicapai.
Kita tidak meletakkan manifesto sebagai sekadar wayang. Kita lihat masalah sebagai satu perkara serius, masalah tempatan yang memang berlaku, jadi kita menawarkan diri untuk menawarkan penyelesaian kepada masalah-masalah tersebut.
Jadi, sekiranya saya menang saya janji akan buat semua itu satu demi satu dengan cuba sedaya upaya sebaik mampu dan apa yang berbeza antara saya dengan calon lain ialah kita akan sentiasa bermesyuarat dengan pimpinan setempat, penduduk dan sebagainya.
Mereka boleh melihat dan membentangkan kad laporan bulanan dan tahunan saya dan mereka boleh menilai perbahasan saya dalam Dewan Undangan Negeri Selangor. Mereka boleh menilai gerak kerja saya sejauh mana pencapaian saya terhadap manifesto PSM. – MalaysiaGazette