LONDON – Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) mendakwa pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino atas tuduhan salah laku, semalam gara-gara reaksinya terhadap kekalahan kepada Burnley.
Pengendali kelahiran Argentina itu tidak berpuas hati dan dilihat melakukan provokasi terhadap pengadil Mike Dean selepas perlawanan berakhir di Turf Moor pada Sabtu lalu yang menyaksikan skuad kendaliannya tewas 2-1.
Kekalahan itu menyebabkan peluang kelab itu untuk memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris terbantut.
“Mauricio Pochettino didakwa dengan dua pelanggaran peraturan FA E3 ketika perlawanan menentang Burnley pada Sabtu (23 Februari 2019),” laporan The Telegraph.
Pochettino masih enggan mengulas tindakannya namun keputusan yang dianggap kontroversi adalah ketika pengadil menghadiahkan Burnley sepakan sudut yang membawa kepada jaringan pembukaan Chris Wood.
Pochettino yang sebelum ini dikenali dengan watak tenang berkata, dia tidak akan menjawab sebarang tindakan disiplin itu dan mengakui dia sudah ‘melepasi batasan.’
Spurs ketika ini mengumpul 60 mata, ketinggalan lima mata di belakang pasukan tangga kedua, Manchester City dan enam mata dibezakan dengan pendahulu Liverpool selepas mengharungi 27 perlawanan. – MalaysiaGazette