Home Utama Proses pengundian awal PRK Semenyih bermula lancar

Proses pengundian awal PRK Semenyih bermula lancar

Sebahgaian anggota polis wanita menunjukkan jari berdakwat selepas membuang undi semasa pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 26 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih berlangsung hari ini dan dijangka sejumlah 858 pengundi menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat di kawasan tersebut pagi ini.

Kesemua pengundi awal  merupakan anggota Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan mengundi di Pusat Mengundi di Dewan Serbaguna Batallion 4 PGA Semenyih (761 orang) dan Discress Room, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang (97 orang).

Manakala sebahagian lagi iaitu 93 orang pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis PGA telah mengundi secara pos.

MGF26022019_UNDI AWAL01
Sebahagian anggota polis beratur sebelum masuk ke dewan untuk membuang undi semasa pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 26 FEBRUARI 2019

Proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh setiap ejen calon yang bertanding di PRK Semenyih.

Malah, proses itu turut diperhatikan pemerhati-pemerhati Pilihan Raya daripada wakil-wakil organisasi serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR.

Pusat Pengundian Awal akan dibuka mulai jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Manakala bagi Pusat Mengundi di Discress Room, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang waktu pengundian ditutup pada jam 2.00 petang.

MGF26022019_UNDI AWAL09
Seorang anggota polis, Jassrey Zahari yang cedera pada tangan kiri akibat kemalangan membuang undi semasa pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 26 FEBRUARI 2019

Sehingga suku ketiga 2018 DUN Semenyih mempunyai 54,503 pemilih berdaftar terdiri daripada 53,520 pengundi biasa, pengundi awal (951), pengundi tidak hadir luar negara (32).

PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Bakhtiar yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Pas dan PSM dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 8,964 undi.

Allahyarham yang juga Ketua Bahagian Bersatu Hulu Langat memperoleh 23,428 undi. -MalaysiaGazette