KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menolak cadangan menubuhkan Universiti Muhammadiyah di negeri itu.
“Oleh yang demikian, setelah membuat penelitian sedalam-dalamnya, maka saya melihat bahawa cadangan penubuhan Universiti Muhammadiyah ini bertentangan dengan semua bidang kuasa dan peruntukan perundangan berkaitan agama Islam di negeri Johor Darul Ta’zim.
“Sehubungan dengan itu, bagi mengelakkan kekeliruan, perbalahan dan perpecahan di kalangan umat Islam di negeri ini, saya menolak cadangan penubuhan cawangan Universiti Muhammadiyah di negeri Johor,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.
Sultan Ibrahim bertitah,Johor mempunyai institusi agama Islam dan pendidikan Islam yang utuh lagi sistematik melangkaui satu abad yang mana ianya berprinsipkan dengan pegangan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiyah.
Justeru, negeri itu tidak mempunyai sebarang keperluan untuk membawa masuk fahaman, amalan dan pegangan baru daripada luar.
Bagaimanapun, negeri Johor Darul Ta’zim tetap menerima dan mengalu-alukan penubuhan cawangan mana-mana universiti dari luar negara yang ingin dibina di negeri itu.
“Namun sekiranya melibatkan kursus-kursus pengajian dan apa-apa perkara yang berhubungkait dengan agama Islam, maka pihak berkenaan hendaklah merujuk kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan seterusnya mendapatkan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor selaku Ketua Agama Islam negeri Johor Darul Ta’zim.
“Ketetapan ini bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan, perbalahan dan perpecahan di kalangan umat Islam di negeri Johor Darul Ta’zim terutama dalam perkara yang tidak selari dengan pegangan aqidah, amalan agama dan tradisi masyarakat Islam di negeri ini.
“Walaupun mungkin cadangan penubuhan Universiti Muhammadiyah ini kelak tidak menyediakan pengajian agama Islam secara spesifik, namun adalah menjadi satu pegangan kepada seluruh warga Muhammadiyah pada setiap masa berpegang, beramal dan menyebarkan doktrin Muhammadiyah selari dengan ketetapan badan tertinggi dalam gerakan Muhammadiyah.
“Saya juga mendapati fatwa yang dikeluarkan oleh Muhammadiyah adalah bercanggah dengan dengan fatwa di negeri Johor,” titah baginda lagi.
Antara percanggahan itu daripada segi akidah, Muhammadiyah berpegang kepada pegangan Allah SWT berjisim dan bertempat dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Quran dan hadis bersifat mutasyabihat (kesamaran).
Walhal, titahnya, pegangan akidah umat Islam di Johor berdasarkan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah yang menafikan Allah SWT berjisim dan bertempat.
“Dari segi amal ibadah, kaedah pengambilan hukum di Negeri Johor Darul Ta’zim adalah berlandaskan Mazhab Syafie.
“Manakala, pegangan Muhammadiyah tidak terikat kepada mana-mana Mazhab. Begitu juga percanggahannya terhadap keharusan amalan sambutan maulidur rasul, membaca doa qunut semasa solat subuh, membaca tahlil, talkin, menziarahi kubur dan sebagainya,” titahnya.
Sebelum itu, Sultan Ibrahim memaklumkan baginda mendapat tahu Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik telah menyatakan sokongan terhadap penubuhan cawangan Universiti Muhammadiyah yang ditubuhkan oleh gerakan Muhammadiyah Indonesia di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh di Johor.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: