Home Nasional Kebakaran feri Langkawi disiasat – Anthony

Kebakaran feri Langkawi disiasat – Anthony

Anthony Loke
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap pada sidang media di Kementerian Pengangkutan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 27 FEBRUARI 2019

PUTRAJAYA – Insiden kebakaran feri penumpang yang terbakar semasa dalam perjalanan dari Jeti Kuah ke Jeti Kuala Perlis dua hari lalu sedang disiasat pihak berkuasa.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tempoh satu hingga dua minggu diperlukan untuk pihak berkuasa melengkapkan siasatan mencari punca kejadian itu.

“Kejadian itu telah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet petang tadi dan kami amat memandang serius kejadian itu dan akan disiasat kerana ia merupakan insiden kedua.

“Beberapa bulan lepas, feri dari syarikat sama juga telah terkandas di tengah laut dan walaupun ini kali pertama berlaku kebakaran tetapi ia dipandang serius jika mengambil kira aspek keselamatan dari syarikat itu.

“Satu penyiasatan sedang dijalankan dan kita tunggu hasil siasatan sebelum sebarang tindakan diambil selepas itu,” katanya dalam sidang media khas di pejabat beliau hari ini.

Ditanya lagi mengenai siasatan itu, Ahli Parlimen Seremban itu berkata, pihaknya akan memantau dan menunggu hasil siasatan itu.

“Kita juga akan menunggu hasil cadangan dan ulasan dari Jabatan Laut Malaysia sebelum sebarang tindakan menyusul,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang Isnin lalu, feri itu terbakar lima minit selepas bertolak dari Jeti Kuah, Pulau Langkawi iaitu kira kira tiga kilometer dari jeti berkenaan.

Api dipercayai bermula dari bahagian enjin yang terletak di belakang feri tersebut dan ketika kejadian seramai 52 penumpang berada di atas feri itu namun semuanya diselamatkan anggota bomba dan bot persendirian yang bergegas ke lokais kebakaran.-MalaysiaGazette