Home Utama Peguam Negara dibenar mulakan prosiding hina mahkamah terhadap peguam Arun Kasi

Peguam Negara dibenar mulakan prosiding hina mahkamah terhadap peguam Arun Kasi

Tommy Thomas
Tommy Thomas. foto SYAFIQ AMBAK, 04 JULAI 2018
PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) oleh Peguam Negara Tommy Thomas untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap seorang peguam yang didakwa telah mengkritik prosiding dan keputusan satu kes mahkamah.

Hakim Tan Sri Ramly Ali, yang mempengerusikan sidang panel tiga hakim, membenarkan Thomas untuk memulakan prosiding terhadap peguam Arunachalam Kasi, yang dalam dua artikel yang disiarkan portal dalam talian, Aliran, didakwa telah membuat kritikan berkaitan afidavit Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Abdul Hamid Abu Backer mengenai dakwaan salah laku hakim.

Mahkamah menetapkan 13 Mac untuk mendengar penghujahan oleh kedua-dua belah pihak (pemohon dan responden).

“Kes di hadapan kami adalah satu permohonan ex-parte. Ia mengenai skandal melibatkan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan. Perbuatan yang diadukan berkait dengan dua artikel oleh responden (Arunachalam Kasi atau dikenali sebagai Arun Kasi) yang diterbitkan pada 16 Feb dan 22 Feb 2019, di laman sesawang Aliran.

“Setelah mempertimbangkan penghujahan dan kertas-kertas mahkamah, kami berpuas hati bahawa semua prosedur yang diperlukan untuk memohon kebenaran telah dipenuhi. Kami, dengan ini, membenarkan perintah yang dimohon oleh pemohon,” kata Hakim Ramly, yang bersidang bersama-sama hakim-hakim Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.

— BERNAMA