SEMENYIH – Pakatan Harapan (PH) meminta rakyat supaya memberi kerajaan masa untuk menyelesaikan isu berbangkit khususnya berkait dengan ekonomi.
Ini kerana PH tidak mempunyai “lampu ajaib” yang boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara dalam tempoh yang singkat sebaik menakluki Putrajaya pada 9 Mei tahun lepas, kata Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Mohd Tahir.
“Bagilah sedikit masa, ekonomi negara susah untuk dipulihkan, kita bukan ada lampu Aladin yang boleh gosok-gosok selesai masalah.
“Kami akui kami tidak banyak pengalaman. Tetapi kami bersih kami perangi rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berceramah di Pangsapuri Bandar Rinching, Semenyih, di sini malam tadi.
Hadir sama pada program itu Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Muhammad Aiman Zainali.
Turut diadakan pada program tersebut pelancaran agenda Aiman4Semenyih yang menggariskan lima tekad calon PH berkenaan sebagai bahan untuk berkempen.
Anuar yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, Barsian Nasional disifatkan sebagai “gila talak” kerana menggunakan pelbagai cara untuk berkempen dan menghentam PH.
Katanya, BN memainkan sentimen politik perkauman dan agama sebagai alat kempen bagi memenangi PRK bukan sahaja di Semenyih malah telah dilakukan pada PRK Cameron Highland yang berlangsung bulan lalu.
“Dia (BN) hendak menang dengan cara apa sekali pun dengan cara amat kotor dan keji. Mereka main isu perkauman,” katanya.
Sementara itu Mohd Anuar, memuji rakyat Selangor yang disifatkannya sebagai orang paling cerdik di negara ini.
Malah katanya, penduduk Selangor khususnya di Semenyih lebih cerdik berbanding orang kampungnya sendiri.
“Orang paling cerdik di Malaysia adalah di Selangor dan orang yang paling cerdik lagi mestilah di Semenyih.
“Orang di sini tak seperti orang kampung saya,” tambahnya sebagai merujuk negeri kelahirannya iaitu Pahang yang masih ditadbir oleh BN. – MalaysiaGazette