KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen berjaya menahan seorang lelaki warga India yang disyaki sebagai ejen haram di sebuah premis di Pangsapuri Seri Gembira, Jalan Terolak 9, Taman Bamboo, Kuala Lumpur lewat malam semalam.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan di rumah suspek telah menemui sebanyak 20 pasport India dan satu pasport Indonesia.
Lelaki berusia 36 tahun itu didapati tinggal di Malaysia sejak tahun 2003 dan aktif menjalankan kegiatan sebagai ejen sejak lima tahun lalu.
Dia dikatakan mengaut keuntungan lebih RM15,000 sebulan hasil kegiatan tersebut.
Turut ditahan seorang perempuan rakyat tempatan yang disyaki bersubahat dalam menjalankan kegiatan tersebut bersama suspek.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud
berkata, agensi itu percaya kegiatan ejen haram itu membuka ruang kepada kes-kes penipuan malah peras ugut ke atas majikan dan seterusnya terhadap pekerja asing.
Jabatan Imigresen juga akan bertindak lebih agresif dalam mengesan rangkaian ejen-ejen tempatan yang turut bersengkongkol dengan ejen warga asing untuk diambil tindakan.
Gerakan memburu mereka telah diaturkan bersama pihak berkuasa lain.
Jabatan Imigresen memberi amaran kepada majikan dan orang ramai supaya tidak mengambil jalan mudah dengan menggunakan khidmat orang ketiga atau ejen haram dalam berurusan dengan pihaknya atau turut berhadapan dengan tindakan undang-undang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan ejen-ejen warga asing mahupun tempatan haram supaya dapat menyalurkan maklumat kepada Jabatan Imigresen dan juga polis. – MalaysiaGazette