Home Politik Jangan gentar Tun M turun Semenyih

Jangan gentar Tun M turun Semenyih

Mohd Nizar Najib
Mohd Nizar Najib

SEMENYIH – Barisan Nasional (BN) tidak perlu gentar dengan mana-mana pimpinan Pakatan Harapan (PH) termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad yang turun berkempen pada PRK DUN Semenyih kali ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pekan, Datuk Mohd. Nizar Datuk Seri Najib menegaskan, BN tidak perlu hilang fokus hanya kerana pimpinan tertinggi PH turun berkempen sebaliknya komited untuk terus memenangi hati pengundi sebelum Sabtu ini.

“Kita tak perlu bimbang dengan siapa pun yang turun (Semenyih), yang penting kita komited teruskan usaha memenangi hati pengundi di sini.

“Kita perlu terus memberi penjelasan bahawa kerajaan dulu (BN) lebih baik daripada kerajaan sekarang (PH),” katanya kepada Malaysia Gazette selepas menziarah kediaman seorang pengundi yang menghidapi barah di Bandar Tasik Kesuma petang tadi.

Hadir sama Ketua Pemuda BN Shah Alam, Mohd. Dendera Billah Zamzuri.

MGF28022019_Ceramah Kelompok BN Bandar Kesuma_01
Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Mohd Nizar Najib meluangkan masa melawat Siti Faizah Sheikh Othman yang juga pengundi DUN Semenyih menghidap kanser usus di Bandar Tasik Kesuma, Semenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI, 28 FEBRUARI 2019

Mohd Nizar yang juga anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, rakyat Semenyih perlu memastikan calon BN, Zakaria Hanafi diangkat sebagai wakil rakyat bagi memastikan suara pembangkang didengari di Selangor.

“Pentingnya sistem demokrasi ini, kena ada semak dan imbang serta lebih ramai suara pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

“Dengan ini, mereka dapat pantau kerajaan negeri memastikan mereka melaksanakan janji-janji yang telah diuar-uarkan masa PRU14 lepas,” katanya.

Katanya Mohd. Nizar, sekiranya parti pemerintah dibiarkan terus memonopoli DUN Selangor dikhuatiri suara rakyat tidak lagi didengari dan rungutan pengundi bukan lagi keutamaan.

“Kalau kerajaan negeri dimonopoli oleh satu parti, kami bimbang parti pemerintah terlalu selesa di kerusi empuk dan membuatkan mereka tidak mengambil berat tentang rungutan dan aduan daripada rakyat.

“Ini adalah satu peluang untuk pengundi-pengundi di Semenyih menambahkan suara pembangkang di DUN Selangor.

“Wakil pembangkang boleh menyuarakan rungutan rakyat dan memastikan kerajaan negeri mengambil tindakan yang sewajarnya bela nasib rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. nak semak imbang orang kenalah lebih baik. kalau lebih tak baik. apa yang nak disemaknya. buat fitnah lah pulak . supaya boleh nampak lebih baik

Comments are closed.