Home Utama Kerajaan mampu tanggung subsidi RON95

Kerajaan mampu tanggung subsidi RON95

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (kiri) diberi penerangan dari Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Abdul Latif Mirasa (kanan) ketika melawat galeri dan kilang mencetak pada Majlis Penyerahan Cek Kepada Yayasan Restu Ke Arah Pengurusan Mencetak dan Menyebar Al-Quran di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 28 FEBRUARI 2019

PUTRAJAYA – Kerajaan masih mampu untuk mengekalkan harga baharu maksimum bagi RON95 selepas berjaya mengurangkan perbelanjaan tidak perlu.

Lim Guan Eng berkata, tindakan penjimatan sebelum ini membolehkan Putrajaya mempunyai dana mencukupi untuk campur tangan apabila harga RON 95 melebihi siling RM2.08 seliter.

“Berdasarkan prestasi setakat ini, kita mampu,” katanya selepas majlis menyerahkan cek sebanyak RM5 juta kepada Yayasan Restu di sini hari ini.

Bagaimanapun, kata Menteri Kewangan itu, semuanya tetap bergantung kepada harga minyak global.

Setakat ini, katanya, kerajaan tidak perlu bajet tambahan untuk subsidi minyak.

Selain subsidi minyak, Bantuan Sara Hidup (BSH) juga berada dalam keupayaan kewangan kerajaan.

“Apabila kerajaan mengumumkan bantuan BSH kepada keluarga untuk RM300, RM100 untuk bujang dan pelajar universiti, semua ini berada dalam kemampuan kerajaan.

“Dengan penjimatan yang dibuat, kerajaan pasti berkongsi dengan rakyat,” katanya.

Ditanya sama ada bantuan BSH akan meningkat pada masa akan datang, Guan Eng berkata, ia bergantung kepada kesihatan kewangan kerajaan pada masa itu.

“Seandainya terdapat keperluan lain, kita perlu melihat keupayaan kita.

“Mungkin terdapat keperluan lain. Ini, perlu melihat keupayaan kita. Sekiranya harga bahan api naik, ia akan menjadi lebih beban,” katanya yang enggan mengulas sebarang unjuran.

Sebaliknya, beliau meminta tunggu sehingga akhir tahun.

Semalam, kerajaan mengumumkan untuk menetapkan harga minyak RON95 kepada RM2.08 berbanding RM2.20 seliter sebelum ini.

Ini bermakna harga runcit RON95 akan dihadkan kepada RM2.08 seliter sungguh pun harga minyak dunia naik lebih daripada itu.

Sekiranya harga minyak dunia berada di bawah paras berkenaan, harga mingguan petrol RON95 akan berada di bawah paras RM2.08, katanya.

Bagaimanapun, harga runcit RON95, RON97 dan diesel berdasarkan pengiraan Mekanisme Harga Automatik (APM) akan terus diumumkan secara mingguan. – MalaysiaGazette