Home Dunia Nahas keretapi: Pemandu tinggalkan kabin tanpa tarik brek

Nahas keretapi: Pemandu tinggalkan kabin tanpa tarik brek

Keadaan lokasi kebakaran keretapi di stesen utama di bandar Kaherah. Nahas mengorbankan 20 orang awam. foto Agensi

KAHERAH – Kebakaran yang melanda stesen keretapi utama di bandar ini berlaku kerana pemandunya telah meninggalkan kabin tanpa menarik brek.

Siasatan awal mendapati pemandu keretapi itu telah keluar untuk berdebat dengan rakannya.

Tetapi pemandu yang telah ditahan telah menyalahkan brek yang berkarat.

Keretapi itu telah merempuh tembok di Stesen Ramses hingga mencetuskan kebakaran besar.

Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan 40 orang cedera.

Perlanggaran menyebabkan tangki bahan api kereta meletup dan membakar platform serta bangunan berhampiran.

Pemandu keretapi itu berkata, keretapi itu mengalami masalah, jika tidak ia tidak boleh bergerak sendiri.

“Brek dan tayar berkarat,” kata pemandu itu lapor ON TV.

Bagaimanapun, laman berita milik swasta, al-Shorouk yang memetik sumber mendedahkan keretapi itu sedang dalam penyelenggaraan ketika ia bergerak dengan laju tanpa pengendali.

Sumber itu memberitahu, kejadian itu bukan kali pertama berlaku sebaliknya ada dua kes yang mana keretapi bergerak tanpa pemandu tetapi tiada kes kematian. – MalaysiaGazette