Friday, September 27, 2024
Home Nasional Papagomo didakwa hari ini

Papagomo didakwa hari ini

PapaGomo ditahan polis baru-baru ini bagi siasatan kes mengkasari Syed Saddiq.

KUALA LUMPUR – Pengendali laman blog Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris akan didakwa di Mahkamah Kajang pagi ini kerana mendatangkan kecederaan terhadap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Muhammad Azri memberitahu, beliau menerima panggilan telefon daripada pegawai penyiasat Ibu pejabat Polis Daerah Kajang yang memaklumkan bahawa dirinya akan dituduh di mahkamah atas arahan Peguam Negara.

“Saya diberitahu akan dituduh di Mahkamah Kajang atas pertuduhan Seksyen 323 (mendatangkan kecederaan) dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan (mengaibkan)

“Saya dimaklumkan bahawa YB Menteri Syed Saddiq mengalami kecederaan ‘soft injury’ pada tisu badannya dan atas sebab kecederaan itu saya dituduh,” katanya dalam kenyataan di laman sosial Facebooknya.

Menurut Muhammad Azri, beliau akan mematuhi arahan yang diberikan dan peraturan yang ditetapkan.

“Saya reda dan akan hadir pukul 9 pagi esok di Mahkamah Kajang bersama-sama dengan isteri saya dan sahabat-sahabat seperjuangan.

“Saya sentiasa pegang pada prinsip berani kerana benar dan tidak ada apa yang saya takutkan dengan tuduhan yang dikenakan kepada saya,” ujarnya. – MalaysiaGazette