Home Nasional Peguam KPKT tidak hadir, inkues ditangguh esok

Peguam KPKT tidak hadir, inkues ditangguh esok

Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman Seafield hari ini memfailkan permohonan semakan keputusan Mahkamah Koroner yang tidak membenarkan mereka menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Foto hiasan

SHAH ALAM – Prosiding hari ke-12 inkues kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim hari ini ditangguhkan.

Ini berikutan Peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syazlin Mansor tidak hadir disebabkan masalah kesihatan.

Permohonan penanguhan itu dibuat peguam keluarga anggota bomba itu, Kamaruzaman Abd Wahab kepada Koroner Mahkamah Shah Alam, Rofiah Mohamad.

Cadangan penanguhan itu tidak dibantah Ketua Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah.

Rofiah kemudian menerima permohonan itu seterusnya memaklumkan, inkues akan disambung pada pukul  10.30 pagi esok.

“Memandangkan keadaan tidak dapat dielakkan, disebabkan Puan Syazlin seorang sahaja mewakili kementerian, saya menerima permohonan itu dan inkues akan disambung esok,” katanya. 

Prosiding hari ini dijangka memanggil dua saksi termasuk seorang pakar forensik Institut  Perubatan Forensik Negara (IPFN). 

Untuk rekod, seramai 30 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam tempoh 52 hari inkues. – MalaysiaGazette