Home Politik PRK Semenyih: Muhyiddin puas hati kerjasama rakan PH

PRK Semenyih: Muhyiddin puas hati kerjasama rakan PH

Muhyiddin Yassin

PUTRAJAYA – Di sebalik dakwaan rakan-rakan komponen Pakatan Harapan (PH) memboikot kempen PRK DUN Semenyih nampaknya ia berlaku di sebaliknya.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin  sokongan pengundi termasuk sokongan daripada rakan komponen PH khususnya dalam kalangan pemimpin utamanya telah memberikan kerjasama baik sepanjang tempoh  berkempen.

“Kita yakin dalam tempoh terkini nampak ada penambahbaikan dan respon daripada pengundi menggalakkan lebih lagi adanya top 5 (pemimpin kanan PH) dan rakan lain turun ke bawah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Malam ini, Pengerusi Bersatu dan PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri akan berkempen di Semenyih.

Selain itu, dalam masa kurang 48 jam lagi menjelang hari mengundi, Muhyiddin berharap agar peratusan pengundi akan meningkat. 

Katanya, pengundi daripada pelbagai kaum perlu mengambil kesempatan untuk menunaikan hak mereka menerusi sistem demokrasi sebagai cara memilih wakil rakyat.

“Yang kita harapkan apa yang berlaku bukan sahaja sokongan mereka tetapi peratusan jumlah yang akan keluar mengundi diharapkan tinggi Melayu, Cina, India.

“Ini hak mereka, ini sistem demokrasi hak mereka memilih wakil lebih ramai yang turun dari pagi sampai selesai lebih baik, itu yang saya harapkan,” katanya.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya dari Pakatan Harapan (PH), Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, Bakhtiar menewaskan penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abdul Aziz serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (Pas) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bakhtiar mengalahkan Johan daripada UMNO yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

DUN itu mempunyai 23,527 pada pilihan raya yang lalu namun rekod yang keluar mengundi adalah 88 peratus iaitu 46,839.

PRK Semenyih menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali; calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul serta calon Bebas, Kuan Chee Heng.-MalaysiaGazette