Home Ekonomi Sebanyak 382 dana lulus bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP

Sebanyak 382 dana lulus bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP

Bermula esok, semua cawangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan kembali beroperasi seperti biasa.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah meluluskan sebanyak 382 dana di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP) bagi tempoh 2019/2020.

Bagaimanapun, hanya 282 dana termasuk sembilan dana baharu daripada 19 Institusi Pengurusan Dana (IPD) yang layak
untuk ditawarkan.

Tawaran itu berkuatkuasa 1 Mac 2019 hingga 29 Februari 2020.

Ini merupakan peningkatan kecil sebanyak 0.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Datuk Mohamad Nasir Ab. Latif berkata, senarai dana unit amanah yang ditawarkan di bawah SPA KWSP telah melalui proses penilaian tahunan berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh KWSP.

Ia juga diluluskan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

“Mana-mana dana yang tidak mencapai skor minimum penilaian tahunan tersebut akan digantung dan tidak boleh ditawarkan dalam tempoh tersebut,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 26 peratus daripada dana yang diluluskan digantung tawarannya untuk tahun ini kerana tidak mencapai kelayakan.

SPA KWSP memberi pilihan kepada ahli untuk melabur sebahagian daripada simpanan Akaun 1 dalam dana unit amanah atau melalui mandat pengurusan wang yang diuruskan oleh IPD yang dilantik.

Ahli boleh memindahkan sehingga 30 peratus daripada jumlah simpanan dalam Akaun 1 yang melebihi Simpanan Asas mengikut umur untuk dilaburkan ke dalam dana yang layak di bawah skim ini.

Mohamad Nasir berkata, semakan semula ke atas kuantum Simpanan Asas dari RM228,000 kepada RM240,000 pada umur 55 telah berkuatkuasa pada 1 Januari 2019.

Dengan ini, ahli perlu mempunyai simpanan yang lebih tinggi di dalam akaun KWSP supaya layak untuk menyertai SPA KWSP.”

Kuantum baru Simpanan Asas telah ditanda aras dengan kadar pencen minimum pekerja sektor awam yang telah dinaikkan dari RM950 kepada RM1,000 sebulan.

Beliau menambah, KWSP kini sedang membangunkan platform elektronik SPA (e-Members Investment Scheme – e-MIS) yang membolehkan ahli untuk melakukan transaksi secara dalam talian dengan kos yang lebih rendah.

Kemudahan ini memberikan ahli lebih fleksibiliti untuk melabur dalam dana unit amanah.

Kemudahan dalam talian yang akan diperkenalkan menjelang akhir tahun ini akan memberikan ahli lebih akses kepada maklumat dana yang ditawarkan, serta nilai dan prestasi dana di bawah SPA.

Ini membolehkan ahli membuat perbandingan dan keputusan pelaburan yang wajar berdasarkan keperluan dan selera risiko masing-masing.

Ahli juga diingatkan bahawa pelaburan di bawah SPA KWSP merupakan pilihan sendiri dan sebarang keputusan untuk menyertai skim ini adalah di bawah tanggungjawab ahli.

“Kelulusan ke atas dana-dana unit amanah ini tidak bermakna bahawa kami mengesyorkan atau mencadangkan mana-mana dana kepada ahli.

“Kami menggalakkan ahli untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada penasihat kewangan yang bertauliah sebelum
membuat keputusan untuk menyertai skim ini,” tambah Mohamad Nasir.

Katanya, KWSP telah menggariskan panduan kepada IPD sebagai langkah untuk melindungi integriti skim ini dan kepentingan ahli yang menyertainya, selain memantau IPD menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka secara berhemah.

KWSP juga melantik juruaudit bebas bagi menjalankan pengauditan tahunan ke atas IPD. KWSP boleh mengenakan tindakan seperti memberi amaran, mengenakan denda, menggantung atau menarik balik pelantikan sekiranya mana-mana IPD gagal mematuhi arahan dan garis panduan yang dikeluarkan.

Untuk mendapatkan senarai penuh dana yang ditawarkan di bawah setiap IPD yang dilantik, ahli boleh melayari laman web KWSP di http://www.kwsp.gov.my/portal/en/web/kwsp/member/members-savings-investment-withdrawal/appointed-fund-management-institutions-unit-trust-fund-under-the-epf-s-
members-investment-scheme- MalaysiaGazette