Home Nasional Senarai viral undi tidak percaya pada PM hanya agenda politik pembangkang

Senarai viral undi tidak percaya pada PM hanya agenda politik pembangkang

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong
KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong menyifatkan ura-ura akan ada undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sesi Parlimen yang akan bermula 11 Mac ini, sebagai agenda politik pembangkang yang tidak bertanggungjawab dan berniat jahat.

Menurut beliau, senarai ‘101 anggota Parlimen yang menyokong perdana menteri meletak jawatan’ yang tular di media sosial itu juga hanya satu spekulasi untuk mengelirukan rakyat serta menjatuhkan moral dan imej kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Liew yang dihubungi Bernama berkata beliau yakin tiada usul undi tidak percaya yang akan dikemukakan oleh mana-mana pihak dalam Dewan Rakyat terhadap Dr Mahathir yang telah diberikan mandat sepenuhnya oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu untuk menerajui kerajaan PH.

“Saya yakin semua Anggota Parlimen daripada PH termasuk Anggota Parlimen Warisan yang berjumlah 135 orang daripada keseluruhan 222 Anggota Parlimen, akan terus memberi sokongan penuh kepada Dr Mahathir sebagai perdana menteri kita,” katanya.

Baru-baru ini tular senarai 101 Anggota Parlimen dari seluruh negeri yang didakwa akan menyokong desakan undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir.

Menjelaskan mengenai usul tidak percaya, Liew yang merupakan Anggota Parlimen Batu Sapi berkata sekiranya ada yang mengemukakan usul berkenaan, maka terpulang kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk mempertimbangkan sama ada usul itu diterima atau tidak untuk dibahaskan dalam Dewan.

“Sekiranya usul tersebut diterima oleh pihak Parlimen mengikut peruntukan dalam Standing Orders (Peraturan Mesyuarat) Dewan Rakyat, Speaker akan menyuruh Anggota Parlimen untuk berbahas dan selepas itu undi,” katanya.

Perlembagaan Persekutuan Perkara 43 (4) memperuntukkan, jika seseorang Perdana Menteri itu tidak lagi mendapat sokongan majoriti daripada Anggota Parlimen, beliau perlu meletak jawatan, melainkan jika atas permintaannya, Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.

Persidangan Dewan Rakyat akan bersidang untuk pertama kali tahun ini bermula 11 Mac sehingga 11 April.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadualkan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14 pada 11 Mac ini.

— BERNAMA