BEIJING – Beijing enggan mengesahkan dakwaan bekas seorang pegawai tentera udara Pakistan bahawa pesawat pejuang buatan China, JF-17, digunakan tentera udara Pakistan untuk menembak jatuh pesawat tentera India.
Kementerian Pertahanan China tidak membuat ulasan apabila ditanya sama ada pesawat JF-17 terlibat dalam pertempuran Pakistan-India, lapor South China Morning Post.
Sebaliknya, jurucakap kementerian itu, Ren Guoqiang berkata: “Perkara paling penting ialah kedua-dua India dan pakistan kekalkan batasan,”.
Pada Rabu lalu, Tentera Udara Pakistan (PAF) berkata bahawa ia telah menembak jatuh dua jet pejuang India yang memasuki ruang udara Pakistan, berhampiran Khasmir di Garisan Kawalan dan menangkap seorang juruterbang.
India berkata, pasukan tenteranya kehilangan sebuah pesawat MiG-21 Bison dan juruterbang ketika ditembak jatuh pesawat Pakistan, F-16.
Tentera Pakistan menafikan sebarang pembabitan pesawat F-16, menggambarkan kemungkinan jet pejuang JF-17 digunakan, teori yang diperkukuhkan oleh bekas pegawai PAF yang telah bersara menerusi akaun twitter.
“Bangga mengumumkan saya adalah pengarah projek JF-17 Thunder, program bersama Pakistan dan China (2001 hingga 2008) semasa pemerintahan Jeneral Pervez Musharraf,” kata Shahid Latif menerusi akaun twitter pagi Rabu.
“Hari ini pesawat yang sama menembak jatuh jet pejuang India yang memasuki ruang udara Pakistan,” katanya.
Jika ia berlaku, operasi Pakistan itu merupakan kejayaan pertama pesawat JF-17 dalam pertempuran udara.
Pesawat pelbagai guna berenjin tunggal itu dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Corporation (CAC) dan dihasilkan secara bersama dengan kontraktor pertahanan dan penerbangan, Pakistan Aeronautical Complex. .
PAF mempunyai 110 buah pesawat JF-17. – Agensi