Home Seni Hidup Jodoh tak panjang, Nonny umum cerai

Jodoh tak panjang, Nonny umum cerai

KUALA LUMPUR – Belum setahun mendirikan rumah tangga, penyanyi, Nonny Nadirah akhirnya membuat pengakuan yang dia dan suaminya sudah berpisah.

Nonny atau Nonny Nadirah Zainuddin, 29, berkata mereka mengambil keputusan untuk tidak lagi tinggal sebumbung pada Oktober lalu.

“Mungkin sudah ditakdirkan jodoh kami tidak panjang. Tidak timbul isu orang ketiga sebaliknya ia berpunca daripada kelemahan dan kekurangan diri masing-masing.

“Maaf, buat sementara waktu, saya belum bersedia untuk mendedahkan tarikh sebenar kami berpisah. Bukan ini jalan yang kami mahukan tetapi kami tidak mampu melawan qada dan qadar.

“Kami tidak boleh memaksa hati untuk meneruskan perkahwinan, bimbang nanti akan memudaratkan diri. Selepas membuat solat istikharah, saya mendapat petunjuk dan ini jalan yang terbaik buat kami berdua,” katanya kepada BH Online.

Nonny berkata, keputusan untuk membawa haluan masing-masing bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi usia perkahwinan mereka yang sangat ‘muda’.

Nonny, bagaimanapun akur, dia perlu berterus terang supaya tidak menimbulkan fitnah dan salah sangka umum.

“Siapa yang berkahwin untuk bercerai? Namun, saya tahu Allah sentiasa ada bersama dan Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk kami berdua.

“Perpisahan ini juga membuatkan saya lebih dekat dengan Allah. Semua yang terjadi mengajar saya supaya lebih matang menangani setiap masalah dan berusaha membentuk diri ke arah yang lebih baik,” katanya lagi.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 18 Mac tahun lalu di Kota Kinabalu, Sabah selepas sembilan tahun berkenalan.-Malaysiagazette