PUTRAJAYA – Satu laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berkenaan pelaksanaan projek Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) oleh kerajaan terdahulu.
Laporan itu dibuat oleh Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Pertahanan, Rafizal Ali di ibu pejabat SPRM di sini berdasarkan hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikanTan Sri Ambrin Buang berhubung pelaksanaan projek berkenaan.
Rafizal yang ditemui wakil media di ibu pejabat SPRM selepas membuat laporan itu, berkata siasatan JKSTUPKK yang dibentangkan kepada kementerian pada 28 Jan lalu mendapati pelaksanaan projek AES lebih menguntungkan syarikat konsesi dan meletakkan kerajaan dalam risiko kerugian.
Projek AES dimiliki oleh syarikat konsesi Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd.
“JKSTUPKK juga mendapati wujud campur tangan anggota pentadbiran kerajaan termasuk bekas perdana menteri dan beberapa menteri kabinet terdahulu yang lebih menjurus kepada kepentingan politik.
“Siasatan juga mendapati wujud keraguan terhadap cadangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengambil alih projek AES hanya dibuat dalam perbincangan tanpa diminitkan di antara bekas perdana menteri dengan beberapa menteri pada September 2014,” katanya.
Katanya JKSTUPKK berpendapat pemilihan LTAT untuk mengambil alih AES adalah lebih kepada cubaan menutup tuduhan bahawa kerajaan cuba melaksanakan ‘bail out’ kerana wujud keraguan berhubung keperluan LTAT membayar RM555 juta bagi mengambil alih AES sedangkan kos asal hanya RM40 juta.
“Malah nilai maksimum yang ditaksirkan oleh syarikat audit KPMG hanya sebanyak RM251 juta untuk projek tersebut,” katanya.
Rafizal berkata pengambilalihan pada harga melebihi pasaran itu sekali gus mendedahkan wang pencarum anggota tentera kepada risiko kerugian dan pihak kementerian meminta siasatan lanjut dilakukan SPRM bagi mengenal pasti faktor di sebalik arahan atau cadangan pengambialihan tersebut.
Dalam pada itu, katanya kementerian masih mempunyai 14 kes ‘land swap’ hasil siasatan JKSTUPKK yang belum diserahkan kepada SPRM selain siasatan kes pembelian kenderaan yang masih belum diserahkan kepada pihak kementerian.
“Kita akan melaporkan kepada SPRM sama ada satu demi satu atau sekali gus untuk kes-kes tersebut namun buat masa ini pihak kami masih dalam proses membaca semula dan meneliti laporan berkenaan,” katanya.
— BERNAMA