KUALA LUMPUR – Dewan Muslimat Pas Malaysia (DMPM) tidak menerima sebarang arahan atau notis daripada pucuk pimpinan agar sayap parti itu dan ahli Pas memberi sokongan kepada calon Pakatan Harapan, Muhammad Aiman Zainali pada PRK DUN Semenyih, esok.
Ahli Jawatankuasa DMPM, Dr. Halimah Ali berkata, tersebar sepucuk surat kononnya arahan itu dari Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Muhammad Khalil Hadi meminta semua ahli dan penyokong menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, tidak benar sama sekali.
“Surat yang ditulis dan ditularkan dalam media sosial itu palsu. Sehingga kini, kita tidak menerima apa-apa arahan sama ada menerusi mesyuarat, perjumpaan atau lisan dari pucuk pimpinan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang ini, penularan notis itu sengaja dicetuskan oleh pihak yang suka mencipta fitnah dan mahu melaga-lagakan perpaduan yang telah tercapai antara Pas dengan UMNO.
“Mencipta berita palsu ini satu perbuatan yang semakin berleluasa hari ini. Tidak hairanlah kalau orang ramai mula bosan dengan pemimpin politik yang darahnya pekat dengan politik kotor,” katanya.
Menerusi surat itu, DPPM dikatakan menyambut baik seruan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya ahli Pas menyokong Tun Dr. Mahathir dan calon PH DUN Semenyih. – MalaysiaGazette