Home Politik Uncle Kentang ada ambulans, teksi 10 sen boleh bantu penduduk Semenyih

Uncle Kentang ada ambulans, teksi 10 sen boleh bantu penduduk Semenyih

Gelagat calon Bebas PRK N.24 Semenyih, Kuan Chee Heng ketika sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil N.24 Semenyih di Pasar Malam Bandar Riching, Semenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI, 25 FEBRUARI 2019.

MUKADIMAH

Kurang daripada 24 jam pengundi-pengundi di kawasan Semenyih akan menunaikan kewajipan memilih wakil rakyat bagi membawa suara mereka ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Salah seorang calon wakil rakyat yang bertanding merebut kerusi N 24 itu mempunyai personaliti menarik selain namanya yang amat sinonim dengan aktiviti membantu masyarakat tanpa membezakan agama dan bangsa.

Menggunakan logo telefon, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’ menawarkan pendekatan berbeza dalam menambat hati pengundi.

Tidak seperti calon-calon yang lain, anak kelahiran Batu Pahat itu lebih selesa bertentang mata dengan para pengundi tanpa menggunakan sebarang pentas ceramah untuk menyampaikan mesej perjuangannya.

Wartawan MalaysiaGazette, MOHD ZAINI SAMSU HADI ada menemubual calon berkenaan dan mempunyai butiran terhadap langkah terakhir sebelum medan pertarungan PRK tersebut berlangsung Sabtu ini.

MGF25022019_Walkabout Calon Bebas_04
Calon Bebas PRK N.24 Semenyih, Kuan Chee Heng foto IQBAL BASRI, 25 FEBRUARI 2019.

MALAYSIAGAZETTE: Ketika ini semua calon yang bertanding menggunakan gear enam untuk berkempen. Apakah pendekatan yang digunakan oleh saudara sama seperti yang lain?

CHEE HENG: Iya, kempen saya memang agresif ketika ini. Saya rasa yang penting risalah-risalah perlu diedarkan kerana tiada apa lagi yang lain. Risalah saya juga tidak menghentam atau memburuk-burukkan mana-mana pihak. Kita berpolitik secara matang dan bersih. Saya tidak gunakan pentas ceramah untuk menyampaikan mesej kepada pengundi. Cuma apa yang saya buat adalah bertemu secara terus dengan mereka sekaligus dapat menyelami masalah yang dihadapi, itu lebih penting. Sekarang saya sudah tekan gear enam, tidak ada masa untuk berehat dan inilah yang saya buat sebagai seorang yang terlibat dalam NGO untuk kerja-kerja kebajikan.

MALAYSIAGAZETTE: Bila bertemu dengan orang ramai apa yang mereka luah kepada saudara?

CHEE HENG: Mereka mengeluh tentang masalah semasa seperti kos sara hidup dan peribadi. Ada juga yang merungut mengenai perkara-perkara asas serta ada juga yang mengadu tentang masalah jenayah. Meskipun di Semenyih ini banyak kampung-kampung tetapi kesan terhadap ekonomi masih lagi terasa. Di Semenyih ini apa yang menghairankan ialah dari segi penempatan. Banyak rumah-rumah yang didirikan oleh pemaju tetapi dijual dengan harga yang tinggi. Saya lihat Semenyih ini macam bukan kepunyaan orang tempatan sebaliknya dah dijadi macam oleh orang luar punya. Dimana hak penduduk Semenyih jika perkara ini berlarutan. Bukannya kita hendak menidakkan pembangunan dan kemajuan tetapi ia biarlah benar-benar dapat dirasai bersama oleh penduduk tempatan di sini.

MALAYSIAGAZETTE: Ada yang kata beri undi kepada calon bebas hanya merugikan, sebab tidak mampu selesaikan masalah kerana tidak ada hubungan baik dengan kerajaan. Apa komen saudara?

CHEE HENG: Walaupun saya tidak ada hubungan baik dengan kerajaan, tapi kalau ada orang sakit mereka (calon lain) pun tidak ada ambulans. Mereka pun tidak ada teksi 10 sen. Kalau ramai yang tahu apa yang saya buat saya percaya mereka akan boleh berfikir sendiri. Bukan saya nak banggakan diri. Kalau nak katakan pertolongan yang asas ia adalah satu yang perlu dibuat oleh kerajaan. Tapi bagi perkara-perkara yang berkaitan keperluan, adalah lebih baik kalau wakil rakyat sendiri yang menyediakan.

MGF19022019_WALKABOUT UNCLE KENTANG08
MALAYSIAGAZETTE: Ada segelintir pihak yang mendakwa saudara merupakan seorang agen dari parti DAP. Boleh saudara perjelaskan?

CHEE HENG: Itu satu dakwaan tidak bijak serta tidak berasas. Apa bukti mereka nak menuduh saya begitu. Adakah kerana ada beberapa keping gambar menunjukkan saya bersama dengan pemimpin DAP boleh dikatakan saya sebagai bersama dengan mereka. Bagaimana pula dengan gambar-gambar saya dengan beberapa pimpinan daripada kerajaan terdahulu? Sebagai seorang yang terlibat dalam kerja-kerja kebajikan saya kena bergaul dengan semua orang. Saya pernah diberi sumbangan oleh parti-parti politik untuk digunakan bagi menolong orang. Tidak kira siapa saya akan ambil. Jadi, kalau saya ambil adakah itu bermakna saya ini agen kepada si pemberi? Minta mereka jawab pula soalan saya ini.

MALAYSIAGAZETTE: Sekiranya saudara diangkat oleh pengundi di Semenyih sebagai ADUN, apa agaknya perkara utama yang akan dilakukan?

CHEE HENG: Yang pertamanya saya akan memperjuangkan segala perkara melibatkan kebaikan penduduk di Semenyih. Kalau orang Semenyih pilih saya, ia satu kelebihan sebenarnya. Bukan satu kekurangan. Saya ada banyak benda boleh bantu mereka. Cuba lihat yang lain, mereka tidak ada seperti yang saya ada. Perkara asas seperti jalan lampu kemudahan-kemudahan awam itu kerajaan negeri yang perlu buat kerana penduduk di Semenyih ini pembayar cukai. Jadi mereka kena sediakan semua itu. Tapi bagi perkara-perkara yang perlu disegerakan saya ada untuk membantu. Saya adalah calon bebas yang mempunyai kekuatan yang lebih daripada calon biasa. – MalaysiaGazette