Home Nasional Nik Afiq bimbang jika mood pengundi menurun

Nik Afiq bimbang jika mood pengundi menurun

Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul bercakap kepada media selepas selesai membuat proses buang undi pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil N. 47 Semenyih di Dewan Serbaguna Orang Ramai Semenyih, Semenyih, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 02 MAC 2019

SEMENYIH – Penambahan pusat pengundi baharu serta kemudahan saluran untuk warga emas melancarkan proses  membuang undi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Dewan Orang Ramai Semenyih.

Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul yang ditemui selepas selesai membuang undi berkata, beliau berterima kasih kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menyediakan kemudahan tersebut di PDM berkenaan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak SPR kerana telah menambah pusat undi baru dan telah tambah saluran untuk warga emas.

“Sebelum ini saya mengundi di Balai Raya Kampung Tanjung dan tempat itu agak kurang selesa. Keputusan untuk berpindah di dewan ini adalah yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas selesai menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi sebentar tadi.

Dalam pada itu, Nik Aziz melahirkan kebimbangannya terhadap ‘mood’ pengundi sekiranya jumlah yang keluar untuk mengundi rendah pada hari ini.

Katanya, setakat ini beliau melihat suasana di pusat pengundian di sini memberangsangkan dan berharap ia berterusan hingga petang ini sambil menaruh harapan agar mendapat undi yang tinggi.

“Kalau tengok ‘mood’ pilihan raya sebelum ini memang berbeza seperti apa yang dapat dilihat pagi ini.

“Saya yakin pengundi di sini telah celik mata dan tahu siapa sebenarnya yang harus dipilih untuk mewakili suara mereka semua,” ujarnya.

Bagaimanapun, Nik Aziz menyatakan beliau akan menerima dengan hati terbuka terhadap sebarang keputusan yang akan diterima menjelang pengumuman yang akan dibuat oleh SPR malam ini.

Ujarnya, ia merupakan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah selepas dua minggu berjuang untuk menyampaikan mesej yang jelas kepada orang ramai di Semenyih. – MalaysiaGazette