SEMENYIH – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melakukan siasatan terhadap kewujudan kain rentang yang digantung di sebuah pusat mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, hari ini.
Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, walaupun pihaknya belum mendapat laporan, namun pihaknya akan mengumpul bukti sebelum mengambil tindakan.
“Saya tak dapat laporan. Kalau ia wujud, ia seolah-olah mencaci dan provokasi. Saya harap ia dapat dihentikan.
“Kalau macam itu boleh memberi masalah kepada ketenteraman awam,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Daerah Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Rinching, di sini, hari ini.
Beliau mengulas kewujudan kain rentang tertera wajah isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor digantung berdekatan dengan pusat daerah mengundi Sesapan Batu Rembau, pagi tadi.
Dalam kain rentang itu, tertera kata-kata kontroversi berkaitan fenomena ‘Bossku’.
‘Malu Apa Bossku, Siapa Boss? Akulah Boss. Ingat Najib ke?,’ tertera pada kain rentang berkenaan.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Azizan juga akan menyiasat insiden pegawai SPR dan Pegawai calon Pakatan Harapan (PH) didakwa cuba meraih undi dalam pusat mengundi.
“Ini tak patut berlaku. Saya ada baca portal Online tapi saya tak dapat tengok video.
“Kalau terjadi macam itu memang tak sepatutnya terjadi.
“Saya kena siasat dulu (baru ambil tindakan),” katanya.
Ditanya tentang kewujudan barung panas dalam kawasan 50 meter pusat mengundi, beliau berkata, ia menyalahi akta pilihan raya.
“Barung dan pondok panas sebenarnya satu kesalahan di bawah Akta-Akta Kesalahan Pilihan Raya.
“Saya dah tekankan perkara ini banyak kali dan penguatkuasa yang menerima laporan-laporan ini mereka akan pergi ke kawasan tersebut dan menyuruh mereka berhenti mengadakan barung-barung tersebut.
“Tapi kalau pondok rehat untuk petugas duduk situ berehat minum makan tanpa aktiviti meraih undi, itu dibenarkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette