Home Politik Uncle Kentang tetap tolong orang Semenyih walau apa pun keputusan

Uncle Kentang tetap tolong orang Semenyih walau apa pun keputusan

Calon bebas PRK N.24 Semenyih, Kuan Chee Heng beramah mesra bersama penduduk kawasan ketika mengadakan lawatan pusat undi ada hari pengundian Pilihan Raya Kecil N. 47 Semenyih di Dewan Serbaguna Orang Ramai Semenyih, Semenyih, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 02 MAC 2019

SEMENYIH – Pengundi-pengundi yang menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih hari ini diingatkan supaya tidak memilih calon berdasarkan parti sebaliknya mereka harus memilih calon yang boleh memberi kemenangan kepada rakyat.

Pesanan itu disampaikan oleh calon bebas, Kuan Chee Heng yang mahu pengundi Semenyih membuat keputusan bijak tanpa terpengaruh dengan dakyah yang dibawakan oleh parti politik sepanjang kempen yang berlalu.

Malah katanya, pemilihan yang dibuat bukanlah ‘suka-suka’ kerana ia bakal menentukan masa depan dan nasib mereka akan datang.

“Saya tahu pengundi di Semenyih ini semuanya bijak dan mereka tahu siapa yang bakal dipilih.

“Cuma saya harap mereka tidak terbawa-bawa dengan apa yang didengar semasa kempen untuk diterjemah di kertas undi nanti,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan lawatan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dewan Orang Ramai Semenyih di sini hari ini.

Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang berkata, beliau juga tidak kisah sekiranya hilang deposit pada pertandingan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Katanya, beliau tidak menganggap ia sebagai satu perkara besar kerana beliau sendiri tidak meletakkan dirinya sebagai seorang ahli politik.

“Andai ditakdirkan saya kalah pada PRK ini, saya tetap akan melakukan kerja-kerja kebajikan untuk masyarakat di Semenyih kerana itu adalah tanggungjawab bersama.

“Kita jangan bermain politik, kita kena tolong orang sebab itu saya ada di sini.
“Kita yang belum sakit tolong orang yang sedang sakit, belum mati tolong orang yang sudah mati,” ujarnya.

Terdahulu, Chee Heng tiba pukul 9.40 pagi di pusat pengundian tersebut bagi mengikuti perkembangan terkini situasi pembuangan undi.

Beliau meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk bertemu pengundi-pengundi dan bermesra dengan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya. – MalaysiaGazette