Home Seni Hidup Beri peluang kepada Ramziela

Beri peluang kepada Ramziela

Ramziela

KUALA LUMPUR – Baru-baru ini, kafe milik bekas penyanyi, Ramziela di Taman Tun Dr. Ismail telah diberi surat tunjuk sebab oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

DBKL mendakwa kafe milik Ramziela itu telah melanggar syarat-syarat lesen kerana menjalankan aktiviti karaoke terbuka.

Tindakan itu dibuat ekoran aduan orang awam dan penduduk kondo berhampiran kafe berkenaan.

Bagaimanapun penyanyi yang pernah terkenal dengan lagu Gemilang Cinta itu pula mendakwa, pihaknya gagal mendapatkan lesen hiburan dengan DBKL bagi tujuan itu.

WhatsApp Image 2019-03-01 at 3.57.13 PM (1)
Notis DBKL kepada Ramziela

DBKL, dakwanya hanya mengeluarkan lesen nyanyian, karaoke kepada pub dan disko sahaja.

Sebelum itu, Ramziela mendakwa telah mendapatkan tandatangan petisyen daripada 15 penduduk untuk membenarkan premisnya menyediakan karaoke namun hanya kerana seorang penduduk membantah, DBKL tidak bertolak ansur.

52494556_2213694398691848_1524754961068457984_n
Ramziela di premisnya di TTDI.

Malah sebelum itu, penguat kuasa DBKL ‘menyerbu’ premisnya seolah-olah kafenya ada kesalahan buat tarian bogel, kata Ramziela dalam status media sosialnya.

Beliau juga mendakwa sejak perkara itu berlaku, perniagaannya menjunam teruk sedangkan ramai pelanggannya datang untuk berkaraoke.

Sedangkan, katanya, volum suara pembesar yang digunakan pada tahap tiga sahaja dan tidak membingitkan.

Justeru, Presiden Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Ayob Abd. Majid memohon DBKL memberikan peluang kepada Ramziela untuk meneruskan perniagaannya.

ayob
Ayob Majid.

“Saya minta DBKL memberi peluang kedua kepada beliau (Ramziela) untuk beliau meneruskan perniagaan sekarang memandangkan itu sahaja mata pencariannya selepas bersara daripada bidang nyanyian,” katanya baru-baru ini.

Menurut Ayob, pihaknya berharap DBKL memberikan kelulusan kepada Ramziela untuk memohon lesen hiburan kepada Kafe Ramziela Delights.

“Beliau sudah memohon (lesen hiburan) untuk menghiburkan para pelanggannya dan saya sendiri mendapati sistem bunyi yang digunakan tidak terlalu bising,” katanya lagi.

Lagi pun, Ayob berharap pihak berkuasa berlaku adil supaya Ramziela juga boleh membuat beberapa perubahan yang difikirkan perlu demi kebaikan bersama.

Ayob yang juga Presiden Persatuan Pengusaha Makanan Melayu Islam Wilayah persekutuan dan Selangor memberitahu, pihaknya juga mahu pertikaian premis makanan dan DBKL bagi kes lain juga dapat diselesaikan secara baik tanpa sebarang kesan buruk sehingga peniaga terpaksa ‘gulung tikar’.- MalaysiaGazette