SEPANG – Lapan rakyat Malaysia yang terkandas di Liberia ekoran ditipu sindiket menceritakan kisah sedih mereka selama dua bulan ketika terkandas.
Menurut Gawan Anak Masin, 41, mereka terpaksa berlapar selama dua minggu kerana kesempitan duit.
Malah beliau dan rakan-rakannya terpaksa menjual telefon bimbit dan jam miliknya untuk mendapatkan wang bagi menampung kehidupan mereka.
“Kami jual lelong dengan warga Liberia, dapat hanya USD250 (RM1, 020) untuk dua telefon bimbit itu dan USD25 (RM102) untuk jam.
“Kami terpaksa buat begitu sebab syarikat sudah tidak bagi duit seperti yang dijanjikan. Mula mereka janji ada gaji, elaun untuk kirim kepada keluarga. Sampai sahaja sana, langsung tidak ada duit yang diberikan.
“Duit itu juga yang kami guna untuk beli bekalan makanan dan minuman selama dua bulan,” katanya kepada media selepas disambut Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur petang tadi.
Gawan dan tujuh lagi rakannya terkandas di Liberia selepas ditipu satu sindiket pekerjaan tempatan.
Menceritakan pengalaman selama dua bulan itu, mereka terpaksa memakan daun ubi kayu bersama garam sebagai alas perut.
Pucuk ubi kayu tidak dibenarkan untuk dipetik oleh masyarakat tempatan Monrovia, katanya.
“Kami hanya makan daun ubi kayu bahagian bawah sahaja. Tidak bahagian pucuk kerana dimarahi oleh warga Liberia,” cerita beliau dalam sebak.
Malah beliau turut berkata, kehidupan di sana amat perit kerana terpaksa membayar jumlah tertentu bagi mendapatkan elektrik.
“Kehidupan sana amat sedih sekali. Mengecas telefon pun kena bayar 25LD (mata wang Liberia). Orang yang mengecas pun suka hati dia sahaja untuk cas berapa.
“Kami hidup susah dengan kesempitan duit, malah ditipu syarikat yang bawa kami ke sana. Rumah yang kami duduk itu cantik tapi tidak ada tilam malah elektrik pun tidak ada,” katanya lagi.
Dalam pada itu, seorang lagi mangsa, Aji Anak Surau, 39, menceritakan mereka mungkin mati jika tidak dibantu oleh pihak Sime Darby milik syarikat Malaysia yang berpangkalan di Liberia.
Kesusahan mereka akhirnya terlerai apabila kesudian kakitangan Sime Darby membantu dalam menyalurkan makanan kepada mereka.
“Kami makan bubur, tidur pun tidak menentu. Air pun susah nak dapat. Beras kami dapat dari Sime Darby. Kalau tidak ada Sime Darby, kami semua akan mati,” katanya lagi.
Kelapan-lapan mereka yang terdiri daripada enam kaum Iban dan dua kaum Melayu itu terkandas dan ditahan di Liberia selama dua bulan.
Kesemua mereka akhirnya selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 3.30 petang tadi. -MalaysiaGazette