KUALA LUMPUR – Kekurangan guru dan tiada guru pengganti antara masalah yang berlaku proses Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) di sekolah-sekolah seluruh negara.
Exco Pendidikan ARMADA, Mohd. Ashraf Mustaqim berkata, hal itu cukup meruncing apabila banyak aduan dari pihak guru dan sekolah yang memaklumkan bermula bulan Mac ini tiada lagi peruntukan untuk kemasukan guru ganti andai ada guru bersalin atau cuti sakit berpanjangan.
“Ini semestinya akan membebankan dan mengganggu proses penyampaian ilmu di sekolah-sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, menurut Mohd. Ashraf Mustaqim, isu peruntukan kertas yang dicatu juga menimbuilkan masalah.
“Masalah ini membebankan perbelanjaan sekolah kerana terpaksa berjimat cermat sehingga membebankan guru dan juga ibu-bapa apatah lagi bagi mereka yang kurang berkemampuan setelah peruntukan kertas untuk sekolah-sekolah dipotong.
“Ianya jelas mengganggu pengurusan peperiksaan di sekolah-sekolah termasuk apabila peperiksaan PT3 diserahkan secara total di bawah pengurusan pentaksiran sekolah,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Menurutnya,isu peralatan sekolah juga banyak menerima aduan termasuk tentang ketiadaan meja dan kerusi sehingga ramai pelajar terpaksa duduk di lantai tanpa keselesaan demi meneruskan sesi pembelajaran.
Beliau berkata aduan dan masalah itu diterima daripada laporan Biro Aduan, Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA) yang merupakan sebuah NGO Pendidikan di bawah Biro Pendidikan ARMADA.
Justeru, Mohd. Ashraf Mustaqim mahu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandang serius perkara tersebut.
“Biro Pendidikan ARMADA amatlah berharap peruntukan segera atau langkah yang lebih proaktif pihak kementerian kepada setiap sekolah yang memaklumkan aduan mereka kepada kementerian,” katanya lagi.
Malah jika apa yang berlaku ada kaitan dengan sabotaj politik merencatkan perubahan yang giat dilakukan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, pihaknya bersedia menyalurkan segenap informasi atau aduan untuk membantu kelicinan pembangunan pendidikan.
Mereka juga berharap selepas bantuan disalurkan KPM juga dianjurkan untuk memaklumkan kepada khalayak umum perubahan yang telah dibawa sebagai bukti khidmat demi masyarakat. – MalaysiaGazette