Home Ekonomi M-Jannah sasar 450,000 keahlian

M-Jannah sasar 450,000 keahlian

Khairul Kamarudin (dua dari kanan) menyampaikan sijil M_jannah kepada Mawi pada majlis Setahun Bersama M-Jannah di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Bank Muamalat menyasarkan keahlian M-Jannah iaitu pakej pengurusan jenazah 24 jam akan mencecah jumlah 4,000 orang sehingga Mac tahun depan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamarudin berkata, sasaran itu akan melibatkan jumlah jualan pakej sebanyak RM9 juta.

Beliau berkata, ketika ini jumlah keahlian M-Jannah adalah sebanyak 4,500 orang selepas setahun dilancarkan.

“Pakej ini boleh didapati di 64 cawangan di seluruh negara dengan sasaran jumlah keahlian di setiap cawangan ada 7,000 orang.

“Kami yakin pakej ini akan terus mendapat sambutan menggalakan kerana pakej pengurusan jenazah ini hanya satu-satunya ditawarkan di Bank Mualamat,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif, Bumijez Sdn. Bhd. (Bumijez), Mohd. Zainal Khamis dan penyanyi Mawi selaku duta M-Jannah.

Pakej M-Jannah dikendalikan Bumijez dengan kerjasama Bank Muamalat sejak Mac tahun lalu.

Keahliannya yang bermula pada harga serendah RM59 hingga RM259 setahun itu tidak hanya menyediakan pengurusan jenazah lengkap bernilai RM1,500 malah turut disertakan dengan zikir tahlil, khatam al-Quran dan wang khairat RM1,500 kepada waris.

Sementara itu, Mohd. Zainal memberitahu, manfaat yang diterima ahli ketika ini melibatkan faedah RM60,000.

Beliau berkata, jumlah itu dibayar kepada waris 20 ahli yang meninggalkan dunia mengikut pakej yang diambil.

“Kami merupakan peneraju perkhidmatan pengurusan jenazah tanpa tunai yang berpandukan prinsip syariah serta bermatlamat meringankan beban waris.

“Perkhidmatan kami bukan sekadar khairat kematian berikutan kami memiliki rangkaian lebih 1,000 wakil Pengurus Jenazah di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan respon pertama diberikan dalam tempoh dua jam selepas menerima pangggilan waris untuk pengurusan jenazah,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya juga sentiasa bersedia bekerjasama dan mengutamakan pengurusan kariah setempat untuk menguruskan jenazah dan wang sebanyak RM1,500 akan disalurkan dalam tempoh 24 jam kepada waris atau kariah setempat bagi menanggung kos pengurusan tersebut.

Dalam pada itu, pendaftaran untuk keahlian M-Jannah boleh dilakukan di setiap 64 cawangan Bank Muamalat di seluruh negara dan istimewa sempena perasmiannya, potongan diskaun sebanyak 5 peratus diberikan bagi setiap pendaftaran dan pembaharuan yang dilakukan sepanjang tempoh bulan Mac 2019. – MalaysiaGazette