Home Nasional Menteri lesen ‘L’ punca rakyat tolak PH

Menteri lesen ‘L’ punca rakyat tolak PH

Burhanuddin Ruslan
Burhanuddin Ruslan

KUALA LUMPUR – Kekalahan dalam dua pilihan raya kecil di Parlimen Cameron Highlands dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih diharap dapat membuka mata sebahagian besar pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Ini kerana, tegas Ketua Wira Perkasa, Burhanuddin Ruslan, kebanyakan menteri dan timbalan menteri berasa selesa dengan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Katanya, kekalahan itu menunjukkan rakyat mula memberontak dan menolak secara total pentadbiran PH yang dibarisi jemaah menteri dan timbalan yang berlesen ‘L’.

“Kebanyakan mereka langsung tidak mempunyai pengalaman dalam mengurus tadbir kementerian masing-masing dan semata-mata bergantung kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Ini menyebabkan dalam tempoh sembilan bulan PH mengambil alih kerajaan Persekutuan, mereka masih gagal menggerakkan ekonomi negara dan mengurus tadbir kerajaan dengan baik serta tersusun,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Jelas Burhanuddin, agak mengecewakan pertubuhan orang Melayu itu dan rakyat khususnya apabila pemimpin PH masih berlagak seperti pembangkang, dengan setiap mereka sibuk mencari kesalahan kerajaan terdahulu.

Katanya, walaupun gagal mengurus tadbir kerajaan dan negara, mereka tetap menuding jari kepada pihak lain atas kelemahan diri sendiri.

“Ini menunjukkan mereka belum sedar mereka adalah kerajaan dan masih dibuai mimpi.

“Sepatutnya setelah rakyat memberi dua kali amaran dalam pilihan raya kecil itu, mereka memperbaiki diri dengan menumpukan pada tanggungjawab untuk melaksanakan polisi yang boleh memberi kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, bagi Wira Perkasa Malaysia, kekalahan PH juga menunjukkan protes daripada rakyat kerana merasa tertipu dengan janji bulan dan bintang pada PRU14 yang belum ditunaikan.

Burhanuddin turut menempelak Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang membuat kenyataan kononnya ekonomi Malaysia berkembang baik, sedangkan ramai peniaga di bawah merungut. – MalaysiaGazette