DENGKIL – Plus Malaysia Berhad memperuntukkan kira kira RM5 juta sepanjang tempoh lima tahun untuk melaksanakan program Keusahawanan Wanita (WEP) yang diperkenalkan syarikat konsesi tersebut.
Inisiatif itu bertujuan memperkasa lebih ramai usahawan wanita di kawasan rehat dan rawat lebuh raya tersebut.
Pengerusi PLUS Malaysia Berhad, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim berkata, inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PLUS menerusi program julung kali ini akan menawarkan kursus latihan,bimbingan mentor dan bantuan perniagaan kepada 20 wanita setiap tahun untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Ia antara usaha PLUS mempergiatkan dan memperkasakan usahawan tempatan dan menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup dan tahap sosio-ekonomi masyarakat setempat di sepanjang jajaran lebuh raya.
“Sasaran utama program ini adalah 20 orang kaum wanita ibu tunggal, golongan B40 dan mereka berumur di antara 23 hingga 30 tahun yang tinggal dalam lingkungan radius 30 kilometer dari lebuh raya.
“Mereka yang terpilih menyertai WEP akan diberi latihan, pendedahan dan. Kemahiran tentang aspek aspek perniagaan serta Pensijilan Industri yang diakreditasi dan diiktiraf, “ katanya dalam ucapan aluannya di program di R&R Dengkil Lebuh Raya ELITE yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail.
Menurut beliau, program hasil kerjasmasa kementerian wanita berkenaan akan dibuka pendaftaran pada 15 April 2019 ini dan pengambilan pertama bermula pada Ogos ini.
Selaras dengan misi PLUS memenuhi keperluan pelanggan lebuh raya, katanya, PLUS akan memulakan projek naik taraf berwajah baharu meliputi reka bentuk kepada R&R bermula tahun ini.
“Ia penting untuk menepati cita rasa dan keselesaan pelanggan dan pengguna lebuh raya kami.
“Bermula dengan R&R Seremban (arah Selatan) kami bercadang menaiktaraf sekurang-kurangnya lima R&R dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Dengan penaiktarafan ini usahawan tempatan termasuk wanita dan ibu tunggal memperolehi peluang meningkatkan hasil perniagaan mereka sekaligus menaikkan taraf hidup keluarga”, tegasnya.-MalaysiaGazette