Home Ekonomi Jualan Perodua dua bulan pertama 2019 naik 7.3%

Jualan Perodua dua bulan pertama 2019 naik 7.3%

KUALA LUMPUR – Perodua menjual hampir 37,400 kenderaan dalam tempoh dua bulan pertama tahun 2019, peningkatan sebanyak 7.3 peratus berbanding 34,800 kenderaan yang dijual pada tempoh yang sama sebelumnya.

Kenaikan itu dipacu oleh permintaan yang tinggi untuk hampir kesemua modelnya.

Dalam dua bulan pertama tahun ini, Perodua menjual sekitar 15,000 unit Myvi, 10,100 unit Axia, 5,900 unit Bezza, 3,600 unit Aruz dan 2,700 unit Alza, manakala dari segi pengeluaran, 36,500 kenderaan telah dikeluarkan – hampir 6.2% lebih
daripada 34,375 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Sementara menunggu laporan bahagian pasaran daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA), kami menganggarkan bahawa bahagian pasaran kami setakat tahun ini adalah 41 peratus,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales
Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin.

Menurutnya, SUV tujuh tempat duduk terbaharu kami, Perodua Aruz, terus meraih pesanan yang memberangsangkan dengan lebih daripada 13,000 tempahan diterima sejak awal Januari.

Perodua Aruz ditawarkan dalam dua varian iaitu X dan AV dan kira-kira 85 peratus daripada tempahan adalah untuk AV.

“Kami telah menyelaraskan operasi pengeluaran kami dalam usaha mengurangkan masa menunggu untuk Aruz. Ini akan diteruskan juga pada bulan Mac.

“Kami amat berterima kasih di atas sokongan dan kesabaran anda dan kami berharap agar kami dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik pada masa yang akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette