KUALA LUMPUR- Kerugian teruk yang dialami oleh sayap pelaburan negara, Khazanah Nasional Bhd. bagi tahun kewangan 2018 adalah disebabkan oleh kenyataan-kenyataan melulu oleh kerajaan, kata Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
“Pengumuman prestasi kewangan terburuk tanpa berselindung oleh CEO baharu.
“Tetapi sasaran pulangan pada masa hadapan dikurangkan (dividen lebih rendah dibayar kepada kerajaan) dan portfolio disebabkan oleh beberapa kenyataan melulu oleh kerajaan (contohnya kejatuhan harga saham TM),” katanya dalam hantaran di Twitter hari ini sambil mengepilkan bersama artikel berhubung prestasi kewangan Khazanah.
Khazanah merekodkan kerugian sebelum cukai RM6.3 bilion pada 2018 berbanding keuntungan RM2.896 bilion sebelumnya didorong oleh penghapusan pelaburan, pengurangan pendapatan dividen dan rosot nilai yang tinggi.
Ini merupakan kerugian pertama yang dicatatkan syarikat tersebut dalam tempoh 10 tahun.
Menurut Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, rosot nilai yang direkodkan pada pada 2018 adalah sebanyak RM7.3 bilion.
Shahril dilantik sebagai Pengarah Urusan Khazanah Ogos lalu menggantikan Tan Sri Azman Mokhtar, tiga bulan selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan.
Beliau sebelum ini merupakan Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Khazanah rugi RM6.3b dalam tempoh sedekad
10 tahun saya menjadi PM dan Pengerusi, Khazanah tidak pernah rugi – Najib