KUALA LUMPUR – Lebihan dagangan yang tinggi merupakan permulaan baik untuk ekonomi negara tahun ini kerana melindungi Malaysia daripada ketidaktentuan ekonomi dunia.
Menteri Kewangan itu menambah, kenaikan import sebanyak 1.0 peratus tahun ke tahun, sekali gus menunjukkan permintaan domestik telah berkembang dengan baik.
Lim Guan Eng berkata demikian sebagai mengulas prestasi eksport negara bagi bulan Januari 2019 yang meningkat 3.1 peratus tahun-ke-tahun.
Nilai eksport bagi bulan Januari 2019 berjumlah RM85.4 bilion merupakan nilai yang tetinggi dalam sejarah negara dan ia mengatasi rekod terdahulu iaitu RM82.8 Bilion yang dicatatkan pada bulan Januari 2018.
Lebihan dagangan negara juga telah meningkat 19.2 peratus tahun ke tahun kepada RM11.5 bilion pada bulan yang sama.
Ini bercanggah dengan kebimbangan deflasi yang ditimbulkan oleh sesetengah penganalisis pasaran.
Pertumbuhan permintaan domestik yang sihat pada bulan Januari membuktikan penurunan Indeks Harga Pengguna (CPI) sebanyak 0.7% tahun ke tahun dalam bulan yang sama bukanlah disebabkan oleh permintaan yang berkurangan.
Sebaliknya, penurunan CPI pada bulan Januari didorong oleh dasar-dasar kerajaan iaitu penstabilan harga minyak yang menyalurkan penjimatan yang diperolehi apabila harga petrol menurun terus kepada pengguna.
Pada masa yang sama, melindungi mereka semasa harga minyak melambung tinggi melalui penggunaan mekanisme harga siling, dan juga penggantian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). – MalaysiaGazette