Home Nasional Polis cari Alvin Chow, tahan 3 lelaki hina Nabi

Polis cari Alvin Chow, tahan 3 lelaki hina Nabi

Mohamad Fuzi
Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR – Polis menerima 929 laporan dari seluruh negara setakat 5 Mac dan membuka 16 kertas siasatan berhubung siasatan kes hina Nabi Muhammad.

Empat kes terkini yang telah diambil tindakan setelah komen jelik oleh pemilik akaun Facebook Bakakuk terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad mendapat 15 laporan polis dibuat berhubung kes ini setakat 5 Mac.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, suspek bernama Mohd Shahrulnizam Stanley Sigan, 29, ditahan di Labuan, Sabah pada 3 Mac lalu dan telah direman selama empat hari sehingga 7 Mac ini.

Polis turut bertindak ke atas komen jelik akaun Facebook Ayea Yea selepas menerima 10 laporan dibuat setakat hari ini.

Suspek bernama Alister Anak Cogia, 22, ditahan di Bau, Sarawak pada 4 Mac dan direman hingga 7 Mac.

Seorang lagi lelaki, Mohd Yazid Kong Abdullah, 52, juga ditahan di Petaling Jaya pada 4 Mac dan reman dilakukan pada hari ini.

Suspek lain ialah Alvin Chow Mun Fai, 43, yang dipercayai berada di Kuala Lumpur sedang dikesan untuk tangkapan.

Mohamad Fuzi berkata, semua kes disiasat di bawah Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Polis menasihati orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi dengan memuat turun atau berkongsi sebarang bentuk provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman.

Tindakan mencabar dan menghina kepercayaan atau agama mana-mana kaum boleh membangkitkan ketegangan kaum. – MalaysiaGazette