PUTRAJAYA – Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Wang Kelian bertepatan dengan komitmen kerajaan untuk mencari kebenaran tragedi penemuan sejumlah kubur di Perlis pada tahun 2015.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penubuhan suruhanjaya itu dibuat apabila banyak pihak yang tidak berpuas hati dengan siasatan yang telah dijalankan seterusnya menjejaskan imej negara.
“Ini secara langsung mengundang persepsi tidak baik kepada negara…walaupun (penubuhan) agak lambat tetapi ia masih tidak terlambat,” katanya selepas pelantikan Pengerusi Ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Penemuan Kem Penempatan Sementara dan Kubur di Wang Kelian, Perlis di sini hari ini.
Sementara itu, Muhyiddin juga berkata, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012 dijangka dibahaskan pada sidang Parlimen akan datang.
Beliau berkata, beberapa perubahan sedang dilakukan terhadap kedua-dua akta tersebut sebelum diluluskan Kabinet untuk dibawa ke Parlimen.
“Kita mungkin mempunyai satu atau dua akta (Sosma dan PAA 2012 untuk dibahaskan di Parlimen), tetapi kita perlu tunggu keputusan akhir Kabinet,” katanya.- MalaysiaGazette