Home Politik UMNO sedia sokong Tun M tapi tengok situasi

UMNO sedia sokong Tun M tapi tengok situasi

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri) bersama Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (kanan) selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk Antara PAS dan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Jika demi kebaikan negara, UMNO bersedia menyokong Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun ia bergantung kepada situasi, kata Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Saya tak boleh cakap tapi bergantung situasi kalau diperlukan demi untuk kebaikan kenapa tidak?

“Itu yang saya katakan tadi kaukus pembangkang tidak bermakna kita akan membangkang, sebaliknya kita akan sokong apa sahaja polisi awam atau dasar-dasar yang hendak diluluskan untuk kebaikan masyarakat dan tanah air,” ujarnya.

Mohamad berkata demikian mengulas sama ada UMNO mengambil pendirian sama dengan Pas sekiranya Mahathir menghadapi undi tidak percaya sebagai Perdana Menteri.

Sebelum itu, Mohamad mengadakan perbincangan dengan pimpina Pas yang diketuai Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di Ibupejabat UMNO hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekarang masih berehat dan terpulang kepadanya bila untuk kembali menerajui parti.

“Pemilihan telah dijalankan dan kita ada Presiden dan saya Timbalan Presiden. Sekarang Presiden berehat sekejap dan saya jalankan tugas beliau. Terpulang pada beliau (Ahmad Zahid) kalau bersedia nak menjalankan semula tugas,” ujarnya.

Menurut Mohamad, gerak kerja parti berjalan seperti biasa dan semua pihak dalam UMNO menerima baik keadaan semasa.- MalaysiaGazette